Untung bersih YTL Power pada FY25 hingga FY27 diunjur turun akibat hasil rendah - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih YTL Power pada FY25 hingga FY27 diunjur turun akibat hasil rendah - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Unjuran keuntungan bersih teras diperoleh YTL Power International Berhad bagi tempoh tiga tahun kewangan dari 2025 sehingga 2027 diturunkan, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan mencerminkan jangkaan pendapatan lebih rendah daripada pusat data kecerdasan buatan (AI) dan anak syarikatnya, Power Seraya berpangkalan di Singapura.

 

Tambahnya, berdasarkan kepada situasi tersebut, ia mengurangkan unjuran keuntungan teras kumpulan berkenaan sebanyak 7 peratus untuk FY25, 17 peratus untuk FY26 dan 16 peratus untuk FY27.

 

"Bagaimanapun sebahagian masih boleh diimbangi oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen pusat data lokasi bersama dan Wessex Water di Britain," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Ia namun menjangka YTL Power mencatat penurunan keuntungan sebanyak 17% tahun ke tahun (YoY) untuk FY25 meskipun Wessex menaikkan caj pada 1 April 2025 dengan bil bermeter meningkat 21 peratus.

 

Kenaikan itu melebihi kenaikan 13% yang diandaikan sebelumnya dan firma berkenaan menaikkan anggaran keuntungan bersih teras dari FY25 hingga FY27 untuk syarikat sebanyak 38% hingga 52%.

 

CIMB Securities meramal keuntungan teras segmen air dan pembetungan bertukar kepada RM242 juta pada FY25 sebelum meningkat 120%/7% YoY kepada masing-masing RM533 juta/RM571 juta pada FY26/FY27.

 

"Walaupun prospek hasil rendah, kami mengekalkan syor 'beli' dan menaikkan harga sasaran sesaham kepada RM4.55, memetik penilaian tinggi untuk perniagaan pusat data dan Wessex Water," katanya.

 

Bagaimanapun ia mengurangkan unjuran keuntungan teras Seraya sebanyak 16% hingga 31%, susulan harga kumpulan dan elektrik runcit yang rendah daripada jangkaan bagi sembilan bulan pertama FY25.

 

Ia menandakan kenaikan kos bahan api berikutan tamat kontrak bekalan tetapi CIMB Securities mengekalkan andaian jangka panjang membawa kepada pengurangan 14% yang lebih kecil dalam nilai saksama Seraya.

 

Sementara itu, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan untuk perniagaan pusat data bersama YTL Power selepas menilai semula andaian margin awalnya margin keuntungan diandaikan 70 peratus.

 

"Ini meningkat daripada 50%, dan kami jangka YTL Power akan mula mengembangkan kapasiti, kerana 188 megawatt (MW) sedia ada telah dipajak sepenuhnya," kata CIMB Securities. - DagangNews.com