Untung bersih Scientex Packaging merosot 28%, tutup operasi di Myanmar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Scientex Packaging merosot 28%, tutup operasi di Myanmar

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Jun - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 28% pada suku ketiga tahun kewangan 2025 berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan jualan eksport yang lemah akibat pengukuhan nilai ringgit.

 

Syarikat juga memutuskan untuk menghentikan operasi pembuatan di Myanmar kerana keadaan ekonomi dan politik yang tidak stabil serta tiada tanda-tanda penambahbaikan sejak beberapa tahun lalu.

 

"Kami akan cuba mengurangkan kesan operasi dan kewangan daripada penutupan operasi ini," kata syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Scientex Packaging menjalankan operasi di Myanmar melalui anak syarikat miliknya, Daibochi Packaging (Myanmar) Co Ltd. 

 

Pada tahun kewangan 2024, Myanmar menyumbang hanya 3.8% daripada jumlah hasil kumpulan sebanyak RM713.51 juta.

 

Untuk tiga bulan yang berakhir pada 30 April 2025, keuntungan bersih turun kepada RM7.23 juta atau 2.06 sen sesaham, manakala hasil jualan menurun 5.5% kepada RM172.87 juta.

 

Walaupun keputusan kewangan lemah, Scientex Packaging mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 2.5 sen sesaham, sama seperti tahun sebelumnya.

 

"Kumpulan terus memberi perhatian kepada pengurusan kos dengan berhati-hati dan mengekalkan daya saing melalui beberapa langkah seperti penggunaan mesin yang lebih cekap, pengurangan sisa dan peningkatan produktiviti pekerja," jelas Scientex Packaging.

 

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih turun 24% kepada RM19.48 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh campuran jualan, persaingan pasaran dan kerugian pertukaran wang asing.

 

Namun, hasil jualan meningkat sedikit sebanyak 0.8% kepada RM536.03 juta. - DagangNews.com