Untung bersih Ramssol naik 42.5% kepada RM6.19 juta pada 2QFY25 dipacu jualan lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Ramssol naik 42.5% kepada RM6.19 juta pada 2QFY25 dipacu jualan lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Ramssol Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM6.19 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, meningkat 42.5 peratus berbanding RM4.34 juta pada tempoh sama 2024.

 

Kumpulan penyedia rumusan teknologi dan pelesenan itu berkata, ia merekodkan hasil RM24.93 juta, iaitu peningkatan 44.0 peratus daripada RM17.31 juta untuk suku yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Bagi 1HFY25, ia mencatatkan hasil RM43.05 juta, naik 35.7 peratus berbanding RM31.73 juta pada 1HFY24, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) juga bertambah 44.1 peratus kepada RM12.18 juta.

 

"Pertumbuhan ini didorong jualan lebih tinggi daripada rumusan pengurusan modal insan kumpulan (HCM) serta AI Cloud di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand," kata Ramssol dalam kenyataan.

 

Di samping itu tambahnya, sumbangan padu daripada perkhidmatan perundingan transformasi digital, pemetaan proses perniagaan dan pengedaran lesen HCM turut menjana pertumbuhan kumpulan berkenaan.

 

Sementara itu katanya, peningkatan dalam keuntungan tempoh tersebut pula adalah disebabkan oleh projek margin tinggi yang terpilih dan peningkatan pengedaran lesen HCM di beberapa buah negara.

 

Mengulas mengenai keputusan itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Brian Liew berkata, syarikat amat gembira dengan prestasi direkodkan pada suku kedua dan separuh pertama tahun kewangan 2025.

 

"Ramssol terus menunjukkan kekuatan tonggak PeopleTech kami dalam memacu pertumbuhan bermakna dengan tumpuan untuk menyampaikan modal insan tambah nilai dan rumusan dikuasakan AI," katanya.

 

Usaha itu tambahnya, membolehkan syarikat meraih peluang di Malaysia, Indonesia dan Thailand, serta mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam transformasi digital.

 

Selain PeopleTech kata Brian, sebuah syarikat tersenarai di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melanggan saham baharu dalam Rider Gate, iaitu platform AutoTech kumpulan itu sebanyak RM25 juta.

 

Urus niaga ini membolehkan Ramssol merealisasikan nilai sambil mengekalkan ekuiti secara berkesan mendapatkan balik pelaburan awal dan mengukuhkan kedudukan modal sambil menyumbang pertumbuhan.

 

"Memandang ke hadapan, kami kekal fokus memacu pertumbuhan merentas tonggak PeopleTech, AutoTech dan AITech, dengan penekanan jelas memanfaatkan inovasi digital," katanya. - DagangNews.com