Untung bersih Q2 Swift Haulage susut 19% akibat tekanan kos dan cukai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Q2 Swift Haulage susut 19% akibat tekanan kos dan cukai

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Syarikat pengangkutan kargo dan logistik, Swift Haulage Bhd mencatat penurunan untung bersih suku kedua sebanyak 19.02% berbanding tempoh sama tahun lalu, terkesan akibat peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan operasi, kos kewangan serta cukai, meskipun mencatatkan kenaikan hasil.

 

Keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025) ialah RM6.75 juta, berbanding RM8.33 juta pada 2QFY2024. Pendapatan sesaham turun kepada 0.77 sen dalam 2QFY2025 berbanding 0.95 sen sebelumnya.

 

Perbelanjaan pentadbiran dan operasi meningkat 23.6% tahun ke tahun kepada RM36.1 juta dalam 2QFY2025 daripada RM29.21 juta, manakala kos kewangan naik 4.7% kepada RM9.42 juta daripada RM9 juta.

 

Perbelanjaan cukai turut melonjak 25.6% kepada RM2.69 juta daripada RM2.14 juta.

 

Hasil suku tahunan meningkat 9.18% tahun ke tahun kepada RM188.75 juta, disokong oleh segmen perniagaan penghantaran kargo, pengangkutan darat dan perkhidmatan gudang, menurut maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim tunggal bertaraf tunggal sebanyak 0.8 sen sesaham, dibayar pada 10 Oktober.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY2025), keuntungan bersihnya merosot lebih separuh kepada RM13.97 juta daripada RM29.48 juta, manakala hasil meningkat 7.29% kepada RM377.91 juta daripada RM352.22 juta.

 

Keuntungan sepanjang tempoh tersebut terjejas akibat penurunan hasil lain kepada RM3.95 juta, susut 77.2% daripada RM17.32 juta pada 1HFY2024.

 

Bagi prospek akan datang, Swift Haulage menjangkakan kesan langsung daripada tarif 19% yang dikenakan oleh AS terhadap hasil kumpulan adalah minimum.

 

 

Shah Alam International Logistics Hub

 

 

Sementara itu, fasiliti bilik sejuk khas seluas 120,000 kaki persegi di Shah Alam International Logistics Hub (SAILH) berjalan mengikut jadual dan dijangka memulakan operasi pada suku pertama tahun depan.

 

Langkah ini membolehkan kumpulan berkhidmat dengan lebih berkesan kepada sektor sensitif suhu seperti makanan, farmaseutikal dan barangan mudah rosak.

 

Saham Swift Haulage ditutup satu sen atau 2.27% lebih rendah pada 43 sen sesaham pada Khamis, dengan nilai pasaran sebanyak RM384.13 juta. - DagangNews.com