KUALA LUMPUR 26 Nov – Paragon Globe Bhd (PGB) melaporkan keputusan kewangan suku kedua berakhir 30 September 2025 (2QFY26) yang kukuh dengan keuntungan bersih meningkat 54% kepada RM14 juta, berbanding RM9.09 juta yang direkodkan suku sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PGB memberitahu prestasi mantap dengan hasil RM52.46 juta itu dipacu permintaan tinggi terhadap aset industri dan jualan tanah di Johor.
"Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), PGB merekodkan hasil RM108.11 juta, meningkat 28.6% berbanding RM84.07 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
"Keuntungan bersih melonjak 102% kepada RM29.94 juta daripada RM14.82 juta sebelumnya – satu pencapaian yang menonjol dalam pasaran hartanah yang kompetitif," kata kenyataan itu.
Menurut PGB, prestasi kukuh itu disumbangkan oleh beberapa faktor termasuk pengiktirafan jualan tanah di Desa Cemerlang dan Tanjung Kupang; jualan kilang berkembar dan pejabat kedai di Pekan Nanas; dan pendapatan sewaan berulang daripada aset PGB.
"Margin keuntungan kasar turut melonjak kepada 56% berbanding 31.2% tahun lalu, menunjukkan keberkesanan disiplin kos serta sumbangan daripada jualan tanah bernilai tinggi," katanya lagi.
Johor terus muncul sebagai tumpuan pelaburan industri, dipacu peluasan sektor pembuatan, peningkatan aktiviti rentas sempadan serta momentum Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Aset perindustrian PGB di Desa Cemerlang dan Pekan Nanas kekal sebagai penyumbang utama, menarik pembeli domestik dan multinasional.
Dalam segmen kediaman, PGB mencapai satu lagi kejayaan dengan pelancaran rasmi Calia Residences by PGB, projek kediaman bertingkat pertama kumpulan itu di Danga Bay.
Menara A mencatat kadar ambilan 90%, memaksa PGB membuka pendaftaran untuk Menara B lebih awal daripada jangkaan.
"Kumpulan turut bersiap untuk melancarkan Kensington Parkview by PGB (Iskandar Puteri) dan The Iconic by PGB (Pusat Bandar Johor Bahru) yang bakal memperkukuh kedudukan jualan serta pendapatan sehingga FY2027 dan FY2028," katanya.
Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, prestasi separuh pertama yang cemerlang ini mencerminkan kekuatan strategi pembangunan kumpulan.
“Peningkatan 102% keuntungan bersih tahun ke tahun membuktikan keupayaan kami melaksana, menyesuaikan diri dan mencipta nilai walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar,” katanya. - DagangNews.com








