KUALA LUMPUR 24 Julai — Nestlé (Malaysia) Berhad mencatatkan peningkatan 20 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM112.1 juta bagi tempoh suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2025.
Kumpulan tersebut berkata, ia melonjak daripada sebanyak RM93.6 juta direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, disokong oleh faktor jualan yang lebih tinggi dan kawalan kos secara berkesan.
Hasil bagi suku itu juga meningkat 9.5 peratus kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.52 bilion sebelumnya, dipacu permintaan dalam negeri yang lebih stabil dan prestasi eksport berdaya tahan.
"Pertumbuhan ini mencerminkan kedudukan global kami yang kukuh, terutamanya Malaysia sebagai hab pembuatan halal terbesar dalam Kumpulan Nestlé," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia menambah, penekanan secara berterusan terhadap kualiti, rasa dan nilai pemakanan turut membantu dalam mengekalkan kesetiaan jenama untuk kukuh di tengah-tengah pasaran yang berkembang pesat.
Lembaga Pengarah Nestlé Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, yang tidak berubah seperti tahun sebelumnya dan dibayar kepada pemegang saham pada 2 Oktober 2025.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, syarikat itu yakin dengan keupayaannya untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh dan mencapai pemulihan keuntungan.
"Kami berhati-hati dan tetap berwaspada terhadap ketidaktentuan geopolitik yang mungkin memberi kesan kepada persekitaran perniagaan di Malaysia terutama pada separuh kedua 2025," katanya.
Di sebalik situasi yang berterusan itu, ia komited untuk menepati janji untuk menyediakan produk halal yang lazat dan berkhasiat, di bawah jenama kegemaran rakyat Malaysia dan paling dipercayai.
Aranols menambah syarikat itu akan terus mempercepatkan transformasi digital dan memacu kecekapan untuk menyokong pelaburan serta inovasi jenama, bertujuan untuk mengukuhkan kepimpinan pasarannya.
Langkah itu katanya, akan dipandu oleh pemahaman yang mendalam tentang nilai pengguna Malaysia dan komitmen teguh untuk memberi kesan positif kepada masyarakat serta alam sekitar. - DagangNews.com








