Untung bersih Malakoff berpotensi cecah RM40 juta setahun hasil perluasan loji, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Malakoff berpotensi cecah RM40 juta setahun hasil perluasan loji, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Malakoff Corporation Berhad diyakini berpotensi mencatatkan keuntungan bersih tahunan mencecah RM40 juta dipacu perluasan loji-lojinya, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran positif itu berdasarkan rekod prestasinya yang terbukti kukuh dalam pembangunan dan operasi loji haba, serta ketersediaan pelan dan aset dimiliknya ketika ini.

 

Tambahnya, kumpulan itu menjadi pilihan memandangkan keperluan mendesak beberapa pihak untuk mengekalkan kestabilan bekalan dan margin rizab di tengah-tengah permintaan tenaga yang melonjak.

 

"Kami percaya Malakoff berada pada kedudukan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan daripada pelbagai tender loji jana kuasa baharu yang akan datang nanti," kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Keyakinan itu turut disokong menerusi kejayaan pemerolehan projek mini hidro bernilai RM950 juta yang dijangka siap pada 2027 dan loji sisa-ke-tenaga (WTE) berharga RM660 juta menjelang 2029.

 

Justeru, firma penyelidikan berkenaan mengunjurkan dua tender tambahan itu sebenarnya boleh menyumbang gabungan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM35 juta kepada kumpulan tersebut.

 

Selain itu, walaupun harga saham Malakoff didapati melantun semula daripada paras terendahnya, CGSI percaya kenaikan yang selanjutnya adalah kekal, disokong oleh rangkaian aset sedia ada.

 

"Ini termasuk loji hidro mini dan WTE, pegangan dalam E-Idaman serta kemungkinan sambungan untuk lojinya yang telah tamat tempoh kontrak iaitu GB3, Prai Power dan Segari," kata firma tersebut.

 

Ia juga melihat Malakoff sebagai pesaing kuat untuk kontrak loji yang menggunakan teknologi gas baharu dengan menganggarkan potensi peluang tambahan itu bernilai paling kurang RM1.2 bilion.

 

Berdasarkan perkembangan positif itu, CGSI masih mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran yang juga tidak berubah kepada sebanyak RM1.20 sesaham. - DagangNews.com