Untung bersih E&O melonjak 65% kepada RM50.24 juta, disokong permintaan kukuh projek Arica, Senna dan Fera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih E&O melonjak 65% kepada RM50.24 juta, disokong permintaan kukuh projek Arica, Senna dan Fera

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Nov – Eastern & Oriental Bhd (E&O), pemaju hartanah premium negara, menampilkan prestasi kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26) apabila keuntungan bersihnya melonjak 65.3 peratus kepada RM50.24 juta berbanding RM30.39 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, prestasi cemerlang itu disokong peningkatan hasil sebanyak 19 peratus kepada RM204.4 juta, didorong pengiktirafan jualan daripada projek Arica serta Senna & Fera yang terus mencatat sambutan kukuh.

 

"Seiring pertumbuhan ini, pendapatan sesaham turut meningkat kepada 2.02 sen berbanding 1.46 sen dalam 2Q25," kata kenyataan itu.

 

Prestasi enam bulan lebih kukuh, segmen hartanah kekal penyumbang utama

Bagi tempoh enam bulan pertama FY26 (1H26), keuntungan bersih E&O meningkat kepada RM95.66 juta daripada RM67.91 juta setahun lalu, manakala hasil naik kepada RM387.87 juta berbanding RM336.68 juta.

 

Segmen hartanah kekal pemacu utama, menyumbang RM334.3 juta hasil dan RM119.4 juta keuntungan operasi — peningkatan masing-masing sebanyak 18 peratus dan 20 peratus.

 

Dalam masa sama, segmen hospitaliti meneruskan momentum positif dengan hasil RM50.8 juta, disokong kadar purata bilik dan kadar penginapan lebih tinggi di E&O Hotel.

 

Fokus pelancaran strategik dan disiplin kewangan

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong, berkata prestasi syarikat bagi suku ini mencerminkan pelaksanaan projek yang berdisiplin serta daya tarikan berterusan produk-produk E&O di pasaran.

 

“Selepas pelancaran rasmi Laman Embun, pembangunan komersial di City of Elmina, kami akan terus memacu pertumbuhan melalui pelancaran terarah yang memenuhi keperluan gaya hidup dan pelaburan yang semakin berkembang.

 

“Kami kekal berhati-hati optimis terhadap pasaran hartanah, dengan fokus kepada penyampaian pembangunan berkualiti tepat pada masanya, sambil mengekalkan disiplin kewangan,” katanya.

 

Tuck Cheong menegaskan bahawa dengan rangka projek akan datang yang kukuh serta kekuatan jenama E&O, kumpulan berada dalam kedudukan selesa untuk mengekalkan pertumbuhan mampan serta menjana nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com