Untung bersih Bursa Malaysia diramal berkembang 5% pada FY25 dipacu peningkatan purata dagangan harian - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia diramal berkembang 5% pada FY25 dipacu peningkatan purata dagangan harian - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd berpotensi meningkat 5% pada FY25 dipacu peningkatan purata dagangan harian (ADV) sekuriti sebanyak 7% tahun ke tahun kepada RM3.37 bilion.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan peningkatan 2.6% dalam hasil Bursa Malaysia pada FY25.

 

“Ekuiti ADV merosot 27.5% suku ke suku kepada RM2.55 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24), berikutan prestasi kukuh dalam tiga suku sebelumnya.

 

"Ia berada dalam jangkaan kerana kami telah mengambil kira perkara itu dalam unjuran kami. Walaupun kelemahan pada 4QFY24, ekuiti ADV kekal kukuh, melonjak 53.2% kepada RM3.15bil pada 2024,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Keuntungan bersih FY24 Bursa adalah dalam jangkaan, menyumbang 102% daripada ramalan dan 99% daripada anggaran konsensus. 

 

Bagaimanapun, dividen FY24 sesaham sebanyak 44 sen melebihi unjuran 34 sen, terutamanya disebabkan oleh dividen khas yang tidak dijangka sebanyak lapan sen sesaham.

 

CGS International berkata, dividen khas itu menambah 1% mata lagi kepada hasil dividennya, meningkatkan hasil dividen FY24 keseluruhannya kepada 5.3%.

 

“Kami mengulangi saranan "tambah" dengan harga sasaran RM11.30 sesaham kerana positif terhadap prospek pasaran ekuiti pada 2025 yang akan memberi petanda baik untuk hasil Bursa Malaysia.

 

Pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk peningkatan dalam ADV ekuiti pada 2025, yang diunjurkan peningkatan 7%, dan pengembangan dalam pulangan ekuiti Bursa daripada 36.5% pada FY24 kepada 38.6% pada FY27, berdasarkan ramalan.

 

"Risiko menurun termasuk penurunan drastik dalam ekuiti ADV dan peningkatan yang lebih luas daripada jangkaan dalam overhed Bursa pada FY25 hingga FY26," katanya. - DagangNews.com