Untung bersih Bintulu Port jatuh 11.77% kepada RM40.88 juta bagi 4QFY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bintulu Port jatuh 11.77% kepada RM40.88 juta bagi 4QFY24

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Feb - Bintulu Port Holdings Bhd, yang mengendalikan pelabuhan kontena terbesar di Malaysia Timur, mencatatkan penurunan keuntungan bersih suku keempat (4QFY2024) sebanyak 11.77% kepada RM40.88 juta berbanding RM46.34 juta pada 2023, walaupun merekodkan hasil suku tahunan tertinggi sejak penyenaraian syarikat pada tahun 2001.

 

Menurut syarikat, pendapatan setiap saham untuk suku yang berakhir pada 31 Disember 2024 (4QFY2024) jatuh kepada 8.89 sen, berbanding 10.07 sen yang dicatatkan sebelumnya.

 

"Penurunan pendapatan tersebut sebahagiannya disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi, yang meningkat sebanyak 34.78% tahun ke tahun kepada RM39.48 juta berbanding RM29.29 juta.

 

"Perbelanjaan pentadbiran pula meningkat sebanyak 14.19% kepada RM15.83 juta berbanding RM13.86 juta, manakala perbelanjaan susut nilai meningkat 14.53% kepada RM13.67 juta berbanding RM11.94 juta," menurut kumpulan dalam pemfailan Bursa.

 

Syarikat menjelaskan, pendapatan lain kumpulan menurun sebanyak 46.92% kepada RM2.89 juta berbanding RM5.44 juta sebelum ini.

 

Jelasnya, hasil suku tahunan meningkat sebanyak 2.38% kepada RM219.96 juta berbanding RM214.84 juta pada 4QFY2023, didorong oleh peningkatan hasil perkhidmatan pelabuhan di Pelabuhan Bintulu dari peningkatan pengendalian kargo untuk gas asli cecair (LNG) dan baja pukal.

 

Bintulu Port mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak lima sen sesaham, lebih tinggi berbanding tiga sen sesaham pada tahun lalu. 

 

Dividen itu akan dibayar pada 16 April 2025, dengan tarikh ex-dividen pada 25 Mac 2025.

 

Ini membawa jumlah dividen bagi FY2024 kepada 15 sen sesaham, berbanding 12 sen bagi FY2023.

 

Keuntungan bersih kumpulan bagi keseluruhan tahun meningkat sebanyak 22.73% kepada RM153.48 juta, berbanding RM125.06 juta pada FY2023. 

 

Ini disokong oleh hasil rekod sebanyak RM828.30 juta, peningkatan 8.19% berbanding RM765.58 juta sebelumnya.

 

Bintulu Port menjangkakan kargo LNG dan kemasukan kapal akan kekal sebagai sumber utama pendapatannya. - DagangNews.com