Untung bersih 4Q25 Hap Seng Plantations dijangka meningkat 80% kepada RM50 juta - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 4Q25 Hap Seng Plantations dijangka meningkat 80% kepada RM50 juta - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Feb – Hap Seng Plantations Holdings Bhd dijangka mencatatkan keuntungan suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25) yang lebih kukuh, didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO).

 

Menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research, keuntungan bersih teras Hap Seng Plantations dijangka meningkat antara 80% hingga 100% secara suku ke suku (q-o-q) kepada RM50 juta-RM55 juta pada 4Q25.

 

Firma penyelidikan itu turut menekankan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan CPO masing-masing meningkat 24% q-o-q bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025.

 

"Bagaimanapun, secara tahun ke tahun (YoY), keuntungan dijangka susut antara 6% hingga 15% susulan harga CPO yang lebih rendah pada suku tersebut, dengan purata RM4,180 setan berbanding RM4,790 setan pada 4Q24," katanya dalam nota penyelidikan.

 

UOBKH menambah, keputusan suku keempat yang kukuh secara berurutan ini hadir selepas prestasi lemah syarikat pada suku ketiga (3Q), menunjukkan pemulihan dalam operasi pengeluaran dan prospek lebih positif untuk suku seterusnya.

 

Sementara itu CGS International (CGSI) dalam nota kajiannya baru-baru ini melihat Hap Seng Plantations  berada pada landasan lebih kukuh pada FY26, disokong oleh sensitiviti pendapatan yang tinggi.

 

Antaranya harga minyak sawit mentah (MSM) dan kedudukan kewangan sangat sihat, dengan firma itu mengulangi saranan 'tambah' serta harga sasaran RM3.35, selain dividen sekitar 7% bagi FY26.

 

Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran keuntungan bersih pada FY25 sebanyak 17.8% selepas pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM oleh kumpulan berkenaan didapati lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Tahap pengeluaran pada 3Q25 lemah akibat kadar perahan rendah dan cuaca yang tidak menggalakkan, dengan hujan lebih kerap telah menekan hasil BTS," katanya dalam nota kajian itu. - DagangNews.com