KUALA LUMPUR 19 Jan – Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menunjukkan ekonomi negara berkembang 5.7% tahun ke tahun (YoY) pada suku keempat 2025 (4Q25), lebih tinggi berbanding 5.2% YoY pada 3Q25, mencerminkan momentum pertumbuhan yang terus kukuh menjelang akhir tahun, menurut PublicInvest.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan itu disokong secara meluas oleh kekuatan sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat penyederhanaan susulan pengeluaran yang lebih lemah.
Dari segi suku ke suku (QoQ) selepas pelarasan bermusim, PublicInvest berkata, KDNK meningkat 3.0%, lebih perlahan berbanding 5.4% pada suku sebelumnya, menandakan proses penormalan selepas lonjakan kukuh pada pertengahan tahun.
"Prestasi 4Q25 yang lebih baik daripada jangkaan ini memberikan kecenderungan peningkatan kepada unjuran KDNK penuh tahun 2025 yang kini dianggarkan sekitar 4.7%, dengan potensi meningkat kepada 4.9% sekiranya momentum berterusan hingga akhir tahun, berbanding 5.1% pada 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pertumbuhan menyeluruh merentas sektor utama
Menurut PublicInvest, anggaran awal KDNK 4Q25 menunjukkan pertumbuhan menyeluruh merentas sektor utama, diterajui oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 5.1% YoY, diikuti sektor pembuatan (4.5%) dan pembinaan (12.4%).
Sektor pertanian dan perlombongan pula mencatat pertumbuhan lebih sederhana masing-masing 2.2% YoY dan 0.5% YoY.
Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada 4Q25, dengan pertumbuhan meningkat kepada 5.4% berbanding 5.0% pada 3Q25.
Prestasi ini disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta makanan dan minuman serta penginapan, selari dengan pemulihan berterusan aktiviti penggunaan dan pelancongan.
Pertumbuhan sektor pembuatan melonjak kepada 6.0% YoY pada 4Q25 berbanding 4.1% YoY pada suku sebelumnya, dipacu oleh pengeluaran lebih tinggi dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E), minyak dan lemak sayuran serta haiwan, pemprosesan makanan, selain produk mineral bukan logam dan logam fabrikasi.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia kekal pada 50.1 pada Disember, menunjukkan pengembangan sederhana tetapi berterusan.
Sektor pembinaan pula mengekalkan pertumbuhan dua digit pada 11.9% YoY, disokong oleh aktiviti lebih kukuh dalam bangunan bukan kediaman dan kerja pembinaan khusus, mencerminkan pelaksanaan projek pelaburan yang berterusan.
Perlombongan sederhana, pertanian pulih
Sebaliknya kata PublicInvest, pertumbuhan sektor perlombongan dan pengkuarian menyederhana kepada 1.1% YoY daripada 9.7% YoY pada 3Q25, disebabkan pengeluaran minyak mentah dan kondensat yang lebih rendah serta pengecutan pengeluaran gas asli.
Sektor pertanian pula mencatat pemulihan ketara dengan pertumbuhan 5.1% YoY, disokong oleh peningkatan pengeluaran kelapa sawit.
Data rasmi KDNK 4Q25 dijadualkan diumumkan pada 13 Februari 2026. - DagangNews.com








