Unjuran KDNK Malaysia 2025 dipotong selepas laporan IPI Mei 2025 lemah, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran KDNK Malaysia 2025 dipotong selepas laporan IPI Mei 2025 lemah, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Julai — Firma-firma penyelidikan memotong unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2025 susulan laporan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Mei yang lemah.

 

Kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 11 Julai 2025 menunjukkan IPI pada bulan itu hanya 0.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y), jauh di bawah ramalan median Bloomberg sebanyak 2.1%.

 

Ia juga rendah berbanding 2.7 peratus pada April 2025 di sebalik usaha Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas untuk menyokong ekonomi awal minggu ini.

 

Sektor perlombongan menyaksikan kejatuhan paling teruk iaitu 10.2% y-o-y, diikuti pembuatan yang perlahan kepada 2.8% manakala penjanaan elektrik hanya 0.4% y-o-y berbanding 4.5% tahun sebelumnya.

 

RHB Research, OCBC Research dan Kenanga Research menjangkakan perbelanjaan awam serta permintaan domestik yang lebih tinggi mampu menyokong pertumbuhan Malaysia pada tempoh separuh kedua 2025.

 

Dua faktor itu mengimbangi ketidaktentuan perdagangan global yang masih menjadi kebimbangan susulan isu pelaksanaan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia pada 1 Ogos 2025.

 

"Kami menurunkan unjuran KDNK Malaysia kepada 4.2% daripada 4.5% dengan menyatakan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi utama dan ketegangan tarif secara berterusan,"kata RHB Research.

 

Keadaan itu dijangka menimbulkan risiko penurunan ketara kepada prospek perdagangan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara yang kini merosot ke arah 3.8% hingga 4% jika ketegangan meningkat.

 

Tarif 25% oleh AS itu katanya, dijangka mengurangkan KDNK Malaysia sebanyak 0.1% hingga 0.2% dengan menegaskan bahawa industri berorientasikan eksport Malaysia boleh menghadapi risiko penurunan luas.

 

“Analisis kami meramalkan 60% tarif ke atas produk China boleh menyebabkan penurunan 7.8% dalam eksport Malaysia, atau susut 0.71% dalam KDNK, kira-kira 0.3% pada asas setengah tahun,” katanya.

 

Begitu juga, OCBC Research melihat pertumbuhan ekonomi setahun penuh untuk Malaysia diunjur boleh berkurangan kepada 3.9% pada 2025 berbanding pada 2024, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1%.

 

Firma penyelidikan itu menjangka KDNK negara ini berkembang hanya pada kadar 3.9% pada suku kedua (2QF25), iaitu lebih perlahan daripada 4.4% yang dicatatkan sepanjan tempoh suku pertama tahun ini.

 

“Hasil rundingan tarif yang berterusan dan bayaran balik daripada pemuatan hadapan eksport Malaysia ke AS akan memberikan kesan ketara ke atas pertumbuhan pada baki separuh kedua 2025,” katanya.

 

Kenanga Research namun kekal positif, mengekalkan unjuran KDNK 2025 pada 4.3%, dipacu perbelanjaan pengguna yang kukuh, pertumbuhan perkhidmatan, pengangguran rendah dan peningkatan pelancong asing.

 

Ia turut menjangkakan ekonomi Malaysia boleh berkembang 4.5% pada 2QFY25, meningkat berbanding 4.4% pada suku pertama, yang didorong oleh faktor kukuh permintaan domestik dan sektor perkhidmatan.

 

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa pengeluaran perlombongan yang lemah dan ketidaktentuan tarif AS boleh menimbulkan risiko walaupun pengilangan mungkin mendapat peningkatan secara jangka pendek.

 

Sementara itu, pembuatan berorientasikan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan awam yang lebih tinggi pada 2H2025 dan permintaan domestik yang kukuh, tambahnya.

 

"Kami tidak menolak kemungkinan kelembapan sektor berorientasikan eksport sebaik sahaja tarif AS itu berkuat kuasa pada awal bulan depan," kata Kenanga Research. - DagangNews.com