UEM Sunrise catat nilai jualan RM46.8 juta pada pratonton Allegro di Cyberjaya  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise catat nilai jualan RM46.8 juta pada pratonton Allegro di Cyberjaya 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun - UEM Sunrise mencatatkan nilai jualan RM46.8 juta melibatkan 23 unit kediaman daripada 68 unit yang telah ditempah pada hari pertama pratonton jualan projek Allegro, pembangunan kediaman mewah terbaharu dalam perbandaran Symphony Hills, Cyberjaya pada 31 Mei 2025.

 

Jumlah itu mewakili kadar ambilan 34% berbanding nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM142 juta.

 

Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, sambutan memberangsangkan terhadap Allegro membuktikan permintaan terhadap rumah berkonsep gaya hidup moden yang semakin berkembang.

 

uem
Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman

 

Dengan penawaran 68 unit Twin Villas dan Grand Villas, Allegro dibangunkan atas tanah pegangan bebas seluas 4.4 hektar dengan konsep berpagar dan berpengawal berkepadatan rendah.

 

Unit-unitnya direka khas untuk keluarga moden pelbagai generasi, dengan keluasan binaan antara 2,866 kaki persegi hingga 5,115 kaki persegi serta dilengkapi bilik air berkonsepkan resort, garaj untuk kenderaan elektrik (EV), sistem tadahan air hujan, dan lif peribadi bagi unit terpilih.

 

Allegro terletak di kawasan tertinggi dalam Symphony Hills dan dikelilingi taman linear hijau, kemudahan rekreasi serta taman permainan komuniti, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kelestarian, kesejahteraan, dan rekaan inovatif.

 

Perbandaran Symphony Hills yang meliputi keluasan 39.7 hektar kini sedang melalui fasa pengaktifan semula bagi menambah baik kemudahan komuniti.

 

Antaranya, kelab komuniti The Opera House bakal dibuka semula dengan fasiliti yang dinaik taraf termasuk kolam renang, kafe tepi kolam, pasar mini, gimnasium, gelanggang pickleball serta dewan serbaguna, sekali gus dijangka menjadi antara kelab sosial dan kesejahteraan komuniti terbesar di Malaysia.

 

Lokasi strategik Symphony Hills dalam ekosistem teknologi, pendidikan dan kesejahteraan Cyberjaya terus menarik minat penduduk yang mengutamakan gaya hidup moden, fleksibel, dan bermatlamat.

 

Projek tersebut dijangka siap pada 2027, manakala keseluruhan pembangunan Symphony Hills disasar siap menjelang 2032.- DagangNews.com