KUALA LUMPUR 13 Jun - UEM Edgenta Bhd menubuhkan syarikat usaha sama (JV) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengurus projek hartanah berskala besar di rantau itu, sekali gus mengembangkan operasi syarikat ke Asia Barat.
UEM Edgenta memaklumkan, anak syarikat milik 60 peratusnya, Kaizen Owner Association Management Services LLC (Kaizen), telah menandatangani perjanjian dengan 21 Estates Group FZCO bagi menubuhkan syarikat JV baharu bernama DuaSatu dengan pegangan saham 40:60.
21 Estates adalah anak syarikat milik penuh Expo City Dubai FZCO.
"21 akan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pengurusan bangunan, nasihat hartanah, penyewaan dan sokongan lain yang berkaitan.
"Perkhidmatan ini akan digunakan untuk projek pembangunan besar di Dubai, termasuk hartanah milik Expo City Dubai dan beberapa lokasi terpilih di luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, peluang pasaran hartanah di Dubai sangat luas.
"Kerjasama dengan 21 Estates ini membolehkan kami menawarkan perkhidmatan pengurusan hartanah yang moden dan bertaraf antarabangsa untuk projek-projek terkenal di rantau ini," katanya.
Beliau memaklumkan, langkah tersebut menunjukkan usaha UEM Edgenta untuk memberi nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan mengukuhkan jenama serta peranan syarikat di Asia Barat.
Usaha sama baharu itu juga mengukuhkan lagi kehadiran UEM Edgenta di UAE dengan menyediakan platform perkhidmatan hartanah bersepadu yang khusus untuk pasaran UAE dan rantau sekitarnya.
Ia dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini dan bakal memberi kesan positif kepada kewangan UEM Edgenta pada masa akan datang.
UEM Edgenta mula menyertai sektor pengurusan hartanah mewah di Asia Barat selepas membeli syarikat Kaizen daripada NW Kaizen Holdings Ltd pada Februari 2024 dengan harga kira-kira RM55 juta. - DagangNews.com








