KUALA LUMPUR 30 Julai — UEM Edgenta Berhad memperkenalkan pembangunan dan kesediaan operasi Loji Pracampur pertamanya yang dilengkapi dengan kemudahan kitar semula di Chenderiang, Tapah, Perak.
Loji itu dibangunkan melalui anak syarikat perkhidmatan rumusan infrastrukturnya, Edgenta Propel Berhad, bagi menghasilkan turapan asfalt kitar semula dan sudah beroperasi sejak September 2024.
Kumpulan pengurusan aset itu berkata, loji ini merupakan langkah strategik dalam usaha syarikat menerajui rumusan prasarana mampan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Ini menandakan pencapaian penting kami dan ia dibina dengan kapasiti pengeluaran 240 tan sejam, yang mampu mengendalikan pengeluaran asfalt berskala besar," kata UEM Edgenta dalam kenyataan.
Selain itu, ia dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkannya menghasilkan campuran asfalt mengandungi bahan kitar semula, serta menyokong amalan pembinaan secara mampan dan mesra alam.
Penubuhan loji berkenaan tambahnya, mencerminkan komitmen kukuh syarikat terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah asli.
Pada masa sama, ia menggalakkan amalan ekonomi kitaran dalam penyelenggaraan jalan raya serta diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 15 peratus berbanding kaedah konvensional.
"Di samping itu, loji ini menyokong kerja pemulihan turapan jalan lebih 200 kilometer setahun melalui proses tenaga cekap yang menjimatkan penggunaan kuasa bagi setiap tan bahan," katanya.
UEM Edgenta menambah, loji itu mencerminkan komitmennya dalam menyampaikan rumusan mampan serta berprestasi tinggi yang mampu memberi manfaat kepada pelanggan dan negara secara keseluruhan.
Inisiatif ini mengukuhkan peranan syarikat tersebut sebagai rakan infrastruktur masa hadapan kepada kerajaan dan sektor swasta dalam membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan rendah karbon
Ketua Perkhidmatan Infrastrukturnya, Raihana Ahmad berkata, dengan menyepadukan bahan kitar semula dan proses tenaga cekap, ia turut membantu pelanggan untuk mengurangkan jejak alam sekitar.
"Kami turut mempromosikan kemampanan jangka panjang serta mengurangkan kesan alam sekitar melalui prinsip kitar semula bahan selaras dengan agenda kemampanan ditetapkan Khazanah Nasional,” katanya.
Usaha itu tambah beliau, selari matlamat tenaga boleh diperbaharui negara menjelang 2050, dan loji moden ini juga berperanan sebagai model kejuruteraan cekap sumber yang menyokong inisiatif NETR.
Katanya, kemudahan berkenaan direka bentuk menggunakan bahan kitar semula, selain mengurangkan sisa tapak pelupusan dan mewujudkan pembangunan infrastruktur yang lebih mesra kepada alam sekitar.
Terletak di lokasi strategik berhampiran Lebuhraya PLUS, loji itu memberikan kelebihan logistik dan membolehkan pengedaran produk secara cekap ke projek infrastruktur dan pemulihan jalan raya utama.
"Kedudukan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi tetapi mengurangkan masa penghantaran, sejajar komitmen UEM Edgenta terhadap kecekapan operasi dan penjagaan alam sekitar," kata Raihana.
Tambah beliau, loji ini dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja yang dilantik secara langsung syarikat itu dengan terdiri daripada bakat tempatan termasuk juruteknik mahir dan operator loji. - DagangNews.com








