UCrest raih paten pertama di Taiwan bagi iMedic, platform kesihatan digital dikuasakan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UCrest raih paten pertama di Taiwan bagi iMedic, platform kesihatan digital dikuasakan AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - UCrest Berhad dianugerahkan paten pertama di Taiwan bagi produk utamanya, iMedic, platform kesihatan digital dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

 

Kumpulan itu berkata, paten tersebut meliputi pengurusan kesihatan berasaskan AI serta kaedah perkhidmatan teleperubatan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri kesihatan digital global.

 

Paten baharu itu katanya, melindungi inovasi UCrest dalam diagnostik berkuasa AI, analitik kesihatan peribadi dan pengurusan pesakit jarak jauh, mengukuhkan lagi kedudukan iMedic sebagai platform utama yang menghubungkan pesakit, doktor dan institusi kesihatan merentasi sempadan.

 

"Teknologi teras iMedic dibangunkan menggunakan gabungan AI, Internet Kebendaan (IoT), rantaian blok serta data analitik yang diintegrasikan dengan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR). 

 

"Gabungan teknologi ini membolehkan iMedic menawarkan penjagaan kesihatan yang lebih peribadi, berterusan dan bersifat ramalan untuk penjagaan pencegahan serta pengurusan penyakit kronik," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Platform iMedic menggunakan algoritma AI canggih untuk menganalisis data perubatan, membantu doktor membuat diagnosis dan membolehkan penjagaan jarak jauh secara berterusan. 

 

Ia kini digunakan di beberapa pasaran di Asia dan luar negara bagi menyokong hospital, klinik dan penyedia perkhidmatan kesihatan dalam mempertingkat kecekapan serta akses kepada rawatan.

 

Sepanjang tiga tahun lalu, UCrest mengemukakan tujuh permohonan paten meliputi pelbagai aspek teknologi AI dan seni bina platformnya termasuk dua paten di Amerika Syarikat serta Taiwan dan masing-masing satu di China, Eropah dan di bawah Patent Cooperation Treaty (PCT).

 

Permohonan PCT itu memberikan UCrest akses kepada perlindungan paten di lebih 150 negara melalui satu permohonan antarabangsa, membolehkan syarikat mengurus dan mengembangkan portfolio harta intelek secara lebih strategik di pasaran global.

 

Pengerusi dan Pengarah Urusan UCrest, Eg Kah Yee berkata, pengiktirafan paten ini membuktikan keaslian dan kekuatan inovasi syarikat dalam bidang kesihatan digital.

 

“Kami berbangga menerima kelulusan paten pertama di Taiwan yang mengesahkan keaslian dan kedalaman inovasi kami dalam kesihatan digital. Strategi kumpulan untuk memfailkan paten secara global melalui PCT mencerminkan visi untuk menjadikan iMedic sebagai platform kesihatan digital bertaraf antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com