Uchi lebih utamakan model tertentu dalam menilai peluang kontrak baharu - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uchi lebih utamakan model tertentu dalam menilai peluang kontrak baharu - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Julai —  Uchi Technologies Berhad dijangka kekal mengutamakan model tertentu dalam menilai peluang kontrak baharunya, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan akan memilih pengeluar reka bentuk asal (ODM) berasaskan perkongsian berbanding pembuatan peralatan asal (OEM) yang bersifat tradisional.


Tambahnya, langkah itu perlu dalam menempuhi potensi halangan seperti peningkatan ketidaktentuan makroekonomi dalam pasaran teras, risiko dari segi permintaan dan tekanan disebabkan kos luaran.


"Selain itu, ia perlu berdepan dengan tarif elektrik lebih tinggi pada separuh kedua 2025 manakala ringgit yang kukuh boleh mempengaruhi margin dan cabaran pengurusan," katanya dalam nota kajian.


Langkah tersebut juga menurut HLIB Research, disebabkan pasaran terasnya iaitu Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) lebih menekankan penglibatan kepada produk ODM daripada OEM.


Kedua-dua pasaran itu katanya, cenderung untuk memupuk perhubungan jangka panjang yang lebih baik, kerana ia terbabit dari peringkat penyelidikan dan pembangunan awal pembangunan produk pelanggan.


Melihat ke separuh kedua 2025, ia berkata, Uchi menjangkakan segmen seni hidup untuk memberikan prestasi yang lebih teguh, manakala segmen bioteknologi pula berkemungkinan kelihatan kekal lemah.


Pasaran seni hidup kata HLIB Research, disokong oleh tumpuan secara berterusan daripada pelanggan yang berminat untuk melancarkan produk baharu walaupun berlatarbelakangkan tarif timbal balik AS.


"Sementara prestasi pasaran bioteknologi masih dikekang oleh kitaran hayat produk yang panjang dan pengenalan produk baharu secara terhad dan kurang menyokong pertumbuhan jualan," kata firma itu. 


Bagaimanapun katanya, kumpulan Uchi memberi amaran bahawa panduan tersebut bergantung pada ramalan tempahan semasa dan boleh disemak semula jika ada kemerosotan dalam sentimen pengguna.


Mengenai pelanggan baharu, HLIB Research berkata, pengumuman awal tarif AS mendorong pertanyaan rantaian bekalan daripada beberapa syarikat multinasional yang meneroka potensi kepelbagaian.


Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham Uchi dengan harga sasaran tidak berubah RM2.90 sesaham menurut nilai 15 kali hasil FY25. - DagangNews.com