KUALA LUMPUR 20 Mac - Berjaya Property Bhd melantik puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menamatkan kekosongan jawatan tersebut selama lebih dua tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Tunku Tun Aminah menggantikan Tun Richard Malanjum yang bersara pada 12 Disember 2023.
Tunku Tun Aminah, 39, merupakan anak perempuan tunggal kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pelantikan ini dibuat hanya dua hari selepas beliau diumumkan sebagai pengerusi U Mobile Sdn Bhd, penyedia rangkaian 5G negara.
Berjaya Property merupakan sebahagian daripada kumpulan Berjaya yang diasas dan dimiliki oleh taikun terkenal, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.
Kumpulan itu mempunyai teras perniagaan meliputi permainan, hotel dan resort, pembangunan rekreasi dan perkongsian masa percutian, pelaburan serta pembangunan hartanah, selain peruncitan kenderaan mewah.
Pengalaman luas dalam pelbagai industri
Menurut syarikat itu, Tunku Tun Aminah memiliki pengalaman luas menerajui organisasi swasta merentasi pelbagai industri serta menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat lain.
Beliau juga memegang francais Kentucky Fried Chicken (KFC) di Stulang Laut, Johor Bahru.
Secara umumnya, Berjaya Property merupakan syarikat ke-16 yang Tunku Tun Aminah berperanan sebagai pengerusi.
Ketika ini, beliau turut menjawat jawatan pengerusi dalam beberapa entiti utama kumpulan Berjaya termasuk Berjaya Corporation Bhd, REDtone Digital Bhd, Berjaya Assets Bhd, Berjaya Group Bhd, Berjaya Capital Bhd, Berjaya Hartanah Bhd, Berjaya Japan Developments Bhd, Bukit Kiara Resort Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Berjaya Assembly Sdn Bhd, Berjaya Rail Sdn Bhd, Berjaya Waterfront Sdn Bhd, Berjaya Times Square Sdn Bhd, Berjaya Securities Sdn Bhd dan Berjaya Mutual Bhd.
Selain itu, beliau juga memiliki 702,000 saham dalam Berjaya Rail, sebuah unit di bawah Berjaya Property.
Sebelum ini, Tunku Tun Aminah bersama Vincent Tan melalui syarikat Mawar Setia Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (ST Media), sekali gus memberikan Mawar Setia pegangan kawalan 50% dalam U Mobile. ST Media merupakan anak syarikat milik penuh pelabur negara Singapura, Temasek Holdings.
Saham Berjaya Property ditutup naik setengah sen atau 2% kepada 26 sen pada Khamis, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM1.3 bilion. - DagangNews.com








