KUALA LUMPUR 8 April - Tune Protect Group Berhad menandakan tahun 2025 sebagai tahun penting apabila penetapan semula strategi mula menunjukkan hasil yang ketara dari segi keuntungan, kualiti portfolio dan pengembangan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect Group Berhad, How Kim Lian berkata, “Tahun 2025 adalah tahun penting bagi Tune Protect apabila disiplin perniagaan, kejelasan strategi dan keselarasan pelaksanaan digembleng untuk membina semula ketahanan perniagaan kami serta meletakkan Tune Protect pada landasan pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan.”
Syarikat insurans itu mencatatkan pertumbuhan lebih 100% tahun ke tahun bagi Keuntungan Selepas Cukai (PAT) bagi tahun kewangan 2025, iaitu prestasi terkuat sejak 2019.
Peningkatan ini didorong oleh disiplin penajajaminan risiko yang dipertingkatkan, penambahbaikan nisbah kerugian bagi segmen Motor dan Kebakaran, serta pertumbuhan kukuh dalam segmen Pelancongan.
“Gabungan nisbah kerugian kami meningkat dengan ketara, mencerminkan portfolio yang lebih bersih dan seimbang,” jelas How.
“Namun, melangkaui pencapaian keuntungan, kami turut memperkukuh asas perniagaan dengan mengembangkan kehadiran serantau dan membina aliran pendapatan baharu di luar insurans tradisional,” ujar beliau kepada DagangNews.
Segmen Pelancongan Meningkat
Walaupun Jumlah Premium Ditulis Kasar (GWP) menurun sedikit sebanyak 3.7%, segmen Pelancongan meningkat 25.6%, sekali gus mencerminkan peralihan strategik ke arah segmen berkualiti tinggi dan cekap modal.
How menegaskan, “Strategi kami bukan sekadar mengejar pertumbuhan jualan semata-mata. Fokus kami adalah untuk meningkatkan kualiti pendapatan, memperkukuh margin keuntungan dan membina portfolio yang lebih mampan. Segmen Pelancongan merupakan pemacu utama yang sejajar dengan strategi pengembangan serantau serta model perniagaan berasaskan ekosistem kami.”
Momentum segmen Pelancongan pada 2025 didorong oleh tiga inisiatif utama, iaitu pengembangan saluran pengedaran, inovasi produk dan penyepaduan insurans dalam pengalaman perjalanan.

How menghuraikan, “Kami menambah lebih 400 ejen pelancongan baharu di Malaysia, sekali gus melengkapkan rangkaian global melebihi 1,500 ejen, terutamanya di rantau EMEIA. Perkongsian kami dengan platform seperti Klook, AirPaz dan Booking.com turut meningkatkan capaian secara signifikan.”
“Dari segi inovasi produk, kami melancarkan Perlindungan Kelewatan Penerbangan untuk penerbangan bukan AirAsia melalui platform MOVE serta memperluaskan Pelan Insurans Pelancongan Universal Inbound ke 20 pasaran Asia.
"Kami juga melaksanakan penyesuaian harga di Australia, Jepun dan Indonesia bagi memperkukuh keuntungan,” tambahnya.
“Melangkaui insurans, pelancongan kini menjadi sebahagian daripada pengalaman menyeluruh, bukan sekadar produk tunggal,” katanya.
“Perkhidmatan seperti Delay Lounge Pass, kempen travel eSIM serta penawaran nilai tambah di ASEAN dan Timur Tengah memperdalam penglibatan pelanggan serta mengubah perniagaan daripada jualan bersifat transaksional kepada pertumbuhan yang lebih berstruktur dan strategik.” - DagangNews.com








