Tune Protect dijangka sambung bayaran dividen pada FY25, TA Research kekal saranan BELI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect dijangka sambung bayaran dividen pada FY25, TA Research kekal saranan BELI

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 26 Nov – Dengan proses pemulihan yang semakin terserlah, Tune Protect Group Bhd dijangka kembali membayar dividen pada tahun kewangan 2025 (FY25), menurut unjuran TA Research yang menganggarkan hasil dividen sekitar 5.2%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi suku keempat 2025 dijangka lebih kukuh didorong musim puncak perjalanan, sekali gus memberi lonjakan ketara kepada keputusan kewangan Tune Protect.

 

Momentum pertumbuhan tersebut dijangka berterusan sehingga 2026, diperkukuh oleh Tahun Melawat Malaysia, peluasan rangkaian syarikat penerbangan dan peningkatan permintaan perjalanan di seluruh Asia.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, TA Research mengekalkan saranan “BELI” terhadap Tune Protect dengan harga sasaran tidak berubah pada 48 sen sesaham, bersandarkan 0.6 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) tahun 2026. Firma penyelidikan tersebut juga tidak mengubah unjuran pendapatan FY25 hingga FY27.

 

Untuk tempoh sembilan bulan 2025 (9M25), Tune Protect mencatat keuntungan bersih RM20 juta, bersamaan 62.6% daripada unjuran penuh tahun TA Research. Ini dianggap sejajar dengan jangkaan, dengan prestasi suku keempat dijangka meningkat seiring momentum perjalanan yang memuncak.

 

 

 

 

 

 

 

Prestasi kumpulan bertambah baik ketara apabila hasil perkhidmatan insurans meningkat kepada RM27 juta berbanding kerugian RM0.7 juta pada 9M24. Ini mendorong keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM32 juta.

 

TA Research menjelaskan prestasi yang lebih baik itu disokong oleh peningkatan sumbangan segmen perjalanan dalam portfolio, pengalaman tuntutan motor dan kebakaran yang lebih baik serta langkah pengoptimuman kos yang berterusan oleh kumpulan tersebut. - DagangNews.com