KUALA LUMPUR 6 Jan - Tune Group Sdn Bhd tidak lagi menjadi pemegang saham utama AirAsia X Bhd selepas melupuskan sebanyak 66.83 juta saham biasa dalam syarikat penerbangan jarak jauh itu.
AirAsia X dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada peringkat akhir pelaksanaan latihan penyatuan perniagaan penerbangan AirAsia, dan dilaksanakan menerusi transaksi perniagaan secara langsung.
Menurut syarikat itu, langkah berkenaan dibuat selaras dengan aku janji oleh Capital A Bhd bersama pihak-pihak yang bertindak secara bersama (PAC) untuk mengurangkan pegangan saham kolektif mereka dalam AirAsia X kepada di bawah 33 peratus.
Tindakan itu bertujuan mengelakkan tercetusnya sebarang obligasi pengambilalihan mandatori di bawah Peraturan Mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Pelupusan saham oleh Tune Group adalah selaras dengan syarat-syarat yang dinyatakan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 20 September dan 24 September 2024, masing-masing berkaitan dengan cadangan penempatan persendirian AirAsia X dan cadangan pengagihan oleh Capital A,” kata AirAsia X.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa selepas penyelesaian cadangan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam AirAsia Aviation Group Limited dan AirAsia Bhd, bersama pelaksanaan penempatan persendirian serta pengagihan yang dirancang oleh Capital A, pengasas bersama kumpulan AirAsia iaitu Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun akan kekal sebagai pemegang saham utama AirAsia X.
Kedua-duanya akan terus mengekalkan kepentingan secara langsung dan tidak langsung dalam AirAsia X, sekali gus mengekalkan pengaruh strategik mereka dalam hala tuju syarikat itu. - BERNAMA








