KUALA LUMPUR 29 Jan — Tekanan berterusan daripada pergerakan mata wang asing serta kos operasi yang lebih tinggi dijangka terus mengekang prospek pendapatan DXN Holdings Bhd dalam jangka terdekat, menurut penganalisis pasaran.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pendedahan tinggi kumpulan kepada mata wang asing terus menjadi cabaran utama memandangkan jualan dari Malaysia secara sejarahnya menyumbang kurang daripada 10% daripada jumlah jualan keseluruhan kumpulan.
“Dengan sebahagian besar hasil diperoleh dari luar negara, prestasi pendapatan DXN dijangka terus terkesan oleh pergerakan tidak memihak mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (USD) dan euro (EUR) berbanding ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, walaupun momentum jualan kekal positif di pasaran teras termasuk Peru, Bolivia dan India, pertumbuhan tersebut dilihat masih belum mencukupi untuk mengimbangi kerugian terjemahan mata wang, khususnya bagi FY26E.
Sehubungan itu, mengambil kira set keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan serta andaian perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, penganalisis menurunkan anggaran pendapatan DXN sebanyak 8% bagi FY26E, 7% bagi FY27E dan 7% bagi FY28E.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan HOLD terhadap DXN dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah pada MYR0.50, berdasarkan PER CY26E 8 kali yang tidak berubah, dengan jangkaan hasil dividen melebihi 6%.
Sementara itu RHB Research berkata, DXN mencatatkan prestasi kewangan di bawah jangkaan bagi tempoh sembilan bulan berakhir FY2026 (9MFY26), terutamanya akibat pergerakan pertukaran asing (FX) yang tidak memihak.
Bagaimanapun firma itu kekal positif terhadap prospek jangka sederhana kumpulan itu berikutan permintaan yang masih kukuh di pasaran utama.
Menurut RHB, pihaknya turut menurunkan unjuran pendapatan FY26F hingga FY28F antara 6% hingga 7%, susulan keputusan 9MFY26 yang menyaksikan keuntungan bersih teras merosot 14.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM208.9 juta, memenuhi sekitar 67% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan dan konsensus pasaran.
Harga sasaran (TP) turut diturunkan kepada RM0.66 daripada RM0.70 sebelum ini, berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) termasuk diskaun ESG 2%.
Namun begitu, firma penyelidikan mengekalkan saranan BELI, dengan potensi kenaikan sekitar 30% serta anggaran hasil dividen kira-kira 7% bagi FY27F (Feb). - DagangNews.com








