KUALA LUMPUR 27 Nov – Tuju Setia Berhad meraih kontrak pembinaan bernilai RM54.0 juta bagi projek kilang industri di Bandar Bukit Raja, Klang, sekali gus mengukuhkan lagi buku pesanan kumpulan dan kedudukan dalam segmen pembinaan industri, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat perkhidmatan pembinaan itu menerima surat penganugerahan projek berkenaan daripada Syntec Intelligence Technology Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Syntec Technology Co Ltd Taiwan, sebuah peneraju global dalam automasi industri, kawalan pergerakan dan penyelesaian pembuatan pintar.
Projek tersebut melibatkan pembinaan kilang lima tingkat yang merangkumi kemudahan pengeluaran, pejabat, tempat letak kereta dua tingkat, bilik mekanikal dan elektrikal (M&E), kafeteria atas bumbung serta kemudahan sokongan lain.
Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula selewat-lewatnya pada 8 Disember 2025 dan dijangka mengambil tempoh 14 bulan untuk disiapkan.
Kontrak baharu bernilai RM54.0 juta itu dijangka memberi rangsangan ketara kepada nilai buku pesanan kumpulan serta menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan segmen pembinaan industri Tuju Setia, yang sebelum ini lebih tertumpu kepada projek bangunan bertingkat tinggi serta kemudahan hospital dan penjagaan kesihatan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Tuju Setia Berhad, Wee Eng Kong berkata, kumpulan berbesar hati dengan kejayaan menembusi segmen pembinaan industri yang semakin berkembang pesat.
“Syarikat amat digalakkan dengan pertumbuhan segmen pembinaan industri. Dengan rekod prestasi kukuh dari segi kualiti dan penyiapan projek mengikut jadual, kami percaya berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang baharu dan meluaskan jangkauan pasaran dalam industri ini,” katanya.
Beliau menambah, meskipun kumpulan kekal fokus melaksanakan projek sedia ada, Tuju Setia turut komited untuk mengembangkan portfolio di luar kepakaran teras pembinaan bangunan bertingkat tinggi serta projek reka dan bina hospital dan kemudahan kesihatan, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai kontraktor pilihan pelbagai sektor.
Untuk rekod, Syntec Technology yang diasaskan pada 1995 di Hsinchu, Taiwan, merupakan pembangun pengawal CNC, pemacu servo dan sistem automasi dengan lebih 25 tahun pengalaman serta telah mewujudkan kehadiran di lebih 50 lokasi di seluruh dunia. - DagangNews.com








