TSR Capital raih kontrak pelebaran Lebuhraya KL-Karak, kerja bermula suku kedua 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSR Capital raih kontrak pelebaran Lebuhraya KL-Karak, kerja bermula suku kedua 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 FebTSR Capital Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, TSR Bina Sdn Bhd, bersama rakan usaha sama telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) bagi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta kerja berkaitan untuk Pakej 1B projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak.

 

Projek yang melibatkan Seksyen 1 (KM19.20 hingga KM39.00) dan Seksyen 2 (KM39.00 hingga KM64.50) itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, kapasiti aliran trafik serta memperkukuh integriti struktur lebuh raya berkenaan yang menjadi laluan utama menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut memberitahu kerja-kerja dijadualkan bermula pada suku kedua 2026 dan dijangka menyumbang secara positif kepada buku tempahan serta prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Pengarah Eksekutif TSR Capital, Lim Dian Ping berkata, penganugerahan itu memperkukuh keterlihatan pendapatan kumpulan selain mengukuhkan fokus strategik dalam infrastruktur pengangkutan, kejuruteraan awam dan projek kerja tanah berskala besar.

 

“Dengan kepakaran dalam kerja tanah dan pembinaan infrastruktur, kami berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan peluang projek lebuh raya dan kejuruteraan awam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata, TSR Capital komited melaksanakan projek tersebut mengikut piawaian profesionalisme, kecekapan dan keselamatan tertinggi, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai kontraktor infrastruktur yang berkeupayaan dan boleh dipercayai.

 

Menurutnya, kumpulan akan terus memperluas penyertaan dalam projek strategik bagi mengukuhkan kedudukan dalam industri pembinaan dan infrastruktur, di samping memastikan penciptaan nilai mampan kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan. - DagangNews.com