TSH Resources diunjur raih hasil sederhana pada 2HFY25 disebabkan penurunan harga minyak sawit - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSH Resources diunjur raih hasil sederhana pada 2HFY25 disebabkan penurunan harga minyak sawit - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei — TSH Resources Berhad diunjur memperoleh hasil yang sederhana pada tempoh separuh kedua 2025 dengan kebanyakannya disebabkan faktor penurunan harga jualan minyak sawit mentah (MSM), menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan itu berlaku ketika aktiviti pengeluaran pula pulih dan paras penutupan stok yang normal dengan dua faktor ini yang berkemungkinan memberikan tekanan terhadap harga jualan.


Ia menyemak semula unjuran hasil menyusut 6.3 peratus dan 6.0 peratus masing-masing pada FY25 dan FY26, bagi mencerminkan tinjauan margin lebih konservatif dengan persekitaran harga normal ketika penuaian buah tandan segar (BTS) tidak stabil.


"Walaupun segmen huluan terus menyokong pendapatan TSH Resources yang dirangsang oleh faktor harga tinggi MSM, namun kami masih lagi tidak yakin dengan kemampanan hasil kumpulan ini," katanya dalam satu nota kajian.


MIDF Research berkata, ia merujuk cadangan Indonesia meningkatkan levi eksport minyak sawit dengan faktor ini mungkin memberi tekanan kepada harga penanda aras MSM, serta berpotensi memampatkan margin huluan dan menyederhanakan prospek keuntungan.


Laporan kewangan 1QFY25 baru-baru ini menunjukkan hasil TSH Resources melonjak kepada RM82.4 juta, peningkatan sebanyak 78.5 peratus tahun ke tahun (yoy), walaupun terdapat isu penurunan dalam bilangan jualan MSM dan isirung kelapa sawit.


Perkembangan positif itu tambah MIDF Research didorong terutamanya oleh harga jualan purata MSM yang lebih tinggi direalisasikan pada RM4,193 tan metrik (Mt), pertambahan 16.9 peratus yoy dan isirung sebanyak RM3,203/Mt (+9.3 peratus yoy).


Walaupun pengeluaran BTS didapati agak stabil, iaitu meningkat sebanyak 0.8 peratus yoy, firma tersebut berkata, keadaan berkenaan menunjukkan proses pemulihan dalam aspek pengeluaran komoditi itu berada di landasan yang betul.


"Kami mengekalkan saranan "neutral" ke atas TSH Resources dengan harga sasaran disemak semula kepada RM1.16 berdasarkan unjuran tahun penilaian perolehan sesaham FY25 iaitu 90 sen," katanya. - DagangNews.com