Tropicana kukuh dengan jualan belum ditagih RM2.2 bilion, bank tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tropicana kukuh dengan jualan belum ditagih RM2.2 bilion, bank tanah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Mac - Pemaju hartanah, Tropicana Corp Bhd, berada dalam kedudukan yang kukuh untuk prestasi mampan pada tahun-tahun akan datang, disokong oleh jualan belum ditagih sebanyak RM2.2 bilion dan bank tanah seluas 759.59 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM109 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, dengan jualan belum ditagih yang tinggi dan hartanah strategik di seluruh Malaysia, syarikat memasuki tahun 2025 dalam kedudukan yang kuat dan optimis.

 

"Sebagai perancang komuniti, kami akan terus menghubungkan komuniti, membentuk masa depan yang lebih baik dan menyediakan pertumbuhan mampan," kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan.

 

Tropicana kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM224.5 juta pada suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024 (4Q24), berbanding kerugian bersih sebanyak RM158.9 juta pada suku yang sama pada 2023.

 

Pendapatannya melonjak 41.1% kepada RM520.9 juta berbanding RM369.1 juta, manakala pendapatan sesaham mencatatkan 9.99 sen berbanding kerugian sesaham sebanyak 7.30 sen.

 

Peningkatan pendapatan itu terutamanya disebabkan oleh bilangan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi di projek utama di Lembah Klang, selatan dan utara, ditambah dengan penyelesaian jualan tanah pembangunan di Gelang Patah, Johor dengan nilai keseluruhan RM185.3 juta.

 

Bagaimanapun, Tropicana melaporkan kerugian bersih sebanyak RM195.9 juta dengan pendapatan RM1.4 bilion untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24).

 

"Prestasi pada suku keempat dan tahun ini mencerminkan ketahanan dan kekuatan pasukan kami, sementara kami terus memberi fokus untuk memastikan perniagaan lebih bersedia menghadapi masa depan melalui strategi pertumbuhan yang kukuh.

 

"Kami akan terus membuka peluang berdasarkan prestasi, menjalankan kempen jualan yang berkesan serta mewujudkan hubungan bermakna dengan pihak berkepentingan," kata syarikat itu.

 

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pemaju hartanah itu mengumumkan beberapa perkembangan positif, termasuk kejayaan jualan tanah Johor bernilai RM383 juta kepada NTT Data Group dan perjanjian tanah bernilai RM240 juta dengan Z Data Group.

 

Syarikat berkenaan juga melaporkan kadar jualan 100% untuk Edelweiss Serviced Residences di Lembah Klang dan kadar jualan 60% untuk fasa pertama projek Fraser Heights di Tropicana Uplands, Johor.

 

Sementara itu, Tropicana Alam, bandar terbaharu kumpulan di Puncak Alam, Selangor mencatatkan kadar jualan 70% untuk fasa pertama Avisa Residences. - DagangNews.com