Treasure Global bentuk rakan kongsi bersama iSynergy pacu pertumbuhan prasarana awan AI di ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Treasure Global bentuk rakan kongsi bersama iSynergy pacu pertumbuhan prasarana awan AI di ASEAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Treasure Global Inc memeterai pembentukan rakan kongsi bersama iSynergy Group Limited bagi mewujudkan rangka kerja strategik antara kedua-dua syarikat teknologi maklumat itu.

 

Katanya, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, mereka bersama-sama memajukan dan mengkomersialkan infrastruktur awan kecerdasan buatan (AI) canggih di Asia Tenggara.

 

Kerjasama strategik itu juga meliputi perancangan untuk meneroka penjualan dan pemerolehan unit pemprosesan grafik (GPU) termaju dipacu AI yang berfungsi sebagai teknologi asas prasarana awan AI.

 

"Kedua-dua syarikat rumusan digital tempatan ini menyasarkan untuk mencipta bersama yang bermula di Malaysia, sebelum berkembang ke seluruh rantau Asia Tenggara," kata Treasure Gold dalam kenyataan.

 

Mereka juga meneroka strategi integrasi teknikal dengan platform blockchain iSynergy, dan inisiatif bagi mempercepatkan penggunaan AI merentas perdagangan, kewangan dan sektor berkaitan kerajaan.

 

Perkongsian itu katanya, direka bentuk untuk membangunkan bersama pelbagai rumusan awan dijana AI secara teguh disesuaikan untuk industri, perusahaan kecil dan sederhana serta entiti sektor awam.

 

Tambahnya, perjanjian itu berdasarkan komitmen Treasure Global, yang diumumkan pada Mac 2025, untuk mewujudkan platform awan AI gred berdaulat di Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran iSynergy.

 

“MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam misi Treasure Global menerajui gelombang inovasi digital seterusnya di Asia Tenggara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Treasure Global, Carlson Thow.

 

Beliau menyifatkan kerjasama dengan iSynergy turut meletakkan asas untuk infrastruktur awan AI gred berdaulat dikuasakan oleh teknologi GPU generasi akan datang dan disepadukan dengan lebih lancar.

 

Platform iSynergy katanya, terkenal melalui aplikasi WYDE, ekonomi gig yang dijana oleh blokchain dan ekosistem ganjaran pembeli, serta Ledgers Lab, yang memfokuskan pada penggunaan blockchain.

 

Katanya, menurut laporan Precedence Research, pasaran infrastruktur awan AI global diramal melebihi AS$60 bilion (RM253.4 bilion) menjelang 2025, dengan pertumbuhan tahunan 26.6% diunjur hingga 2034.

 

"Permintaan meningkat untuk infrastruktur AI berdaulat meletakkan ASEAN sebagai pasaran berpotensi tinggi, didorong inisiatif digital disokong kerajaan dan transformasi sektor swasta," kata Thow. - DagangNews.com