Toyo Ventures berdepan saman RM12 juta sebagai ‘Arrangement Fee’ bagi projek Song Hau 2 di Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Toyo Ventures berdepan saman RM12 juta sebagai ‘Arrangement Fee’ bagi projek Song Hau 2 di Vietnam

Projek pembinaan Song Hau 2 Thermal Power Plant Project di Vietnam - Gambar fail
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Apr - Toyo Ventures Holdings Berhad (TVHB) kini berdepan tekanan baharu apabila anak syarikatnya, Toyo Ink Group Berhad (TIGB), bersama bekas Pengarah Urusan Kumpulan, Chew Cheong Loong diseret ke mahkamah berhubung tuntutan kewangan RM12 juta.

 

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, TVHB memaklumkan bahawa kedua-dua pihak tersebut telah diserahkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan pada 8 April 2026, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam.

 

Tindakan undang-undang itu dimulakan oleh SET Business Advisory and Consulting Sdn Bhd, yang mendakwa wujudnya bayaran “arrangement fee” berkaitan kemudahan pinjaman yang didakwa diperoleh untuk manfaat TIGB.

 

Berkait Projek Song Hau 2

Tuntutan itu dikaitkan secara langsung dengan pembiayaan bagi projek Song Hau 2 Thermal Power Plant Project di Vietnam — satu projek tenaga berskala besar yang sebelum ini menjadi antara pemacu naratif pertumbuhan kumpulan tersebut.

 

Bagaimanapun, TVHB menegaskan bahawa tuntutan berkenaan adalah dipertikaikan sepenuhnya oleh TIGB.

 

Plaintif menuntut bayaran sebanyak RM12 juta selain faedah dan kos, menjadikan kes ini berpotensi memberi implikasi kewangan dan reputasi kepada kumpulan itu sekiranya tidak ditangani dengan rapi.

 

Perbicaraan Bermula Hujung April

Menurut pengumuman itu, pengurusan kes telah ditetapkan pada 30 April 2026, menandakan permulaan proses perundangan yang dijangka menarik perhatian pelabur dan pemerhati pasaran.

 

Walaupun butiran penuh mengenai perjanjian yang dipertikaikan belum didedahkan, kes ini dilihat membuka semula persoalan mengenai struktur pembiayaan dan tadbir urus dalam projek tenaga antarabangsa yang melibatkan syarikat Malaysia.

 

TVHB berkata ia akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berhubung kes tersebut, selaras dengan keperluan penzahiran kepada pasaran. - DagangNews.com