KUALA LUMPUR 31 Dis - Topmix Bhd dijangka muncul sebagai antara penerima manfaat utama daripada peningkatan aktiviti pengubahsuaian hartanah serta perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut Tradeview Research.
Dalam satu laporan penyelidikan, firma itu berkata Topmix, pembekal utama lapisan laminat tekanan tinggi (HPL) yang berpangkalan di Johor, memainkan peranan penting dalam sektor hartanah kediaman dan komersial, khususnya bagi kerja-kerja kemasan dan hiasan dalaman.
Tradeview Research mengunjurkan pertumbuhan hasil Topmix antara 13% hingga 20% bagi tempoh tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27, disokong oleh pasaran hartanah yang rancak, peningkatan permintaan terhadap bahan permukaan berkualiti tinggi serta pertambahan aktiviti pengubahsuaian komersial dan pembukaan kedai baharu.
“Pertumbuhan ini turut dipacu oleh pengembangan perniagaan pelanggan sedia ada, khususnya dalam segmen komersial,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan sumbangan tambahan kepada hasil menerusi pelancaran produk papan serpai berlapis melamin, yang dijangka mula memberi kesan kecil pada FY25.
Selain itu, Topmix telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa jenama makanan dan minuman yang berkembang pesat seperti Chagee dan Tea Garden, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasarannya dalam segmen komersial.
Dalam jangka panjang, Tradeview Research melihat Topmix berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan JS-SEZ, khususnya apabila lebih banyak syarikat memperluaskan operasi ke kawasan berkenaan dan memerlukan perkhidmatan pengubahsuaian serta hiasan dalaman.
Topmix mengamalkan model perniagaan berasaskan aset ringan, dengan bekalan HPL diperoleh terutamanya daripada pengeluar di China, Rexin, serta sebahagiannya dari Korea Selatan.
Model ini membolehkan syarikat mengekalkan margin keuntungan kasar sekurang-kurangnya 35% sepanjang empat tahun lalu, dibantu oleh pengukuhan nilai ringgit.
Tradeview Research berkata dengan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil, termasuk kadar pengangguran dan inflasi yang terkawal, risiko kejutan dasar monetari adalah rendah.
Di samping itu, strategi China-plus-one yang diguna pakai oleh syarikat Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor teknologi, dijangka menyokong permintaan berterusan terhadap ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengunjurkan margin keuntungan kasar sekurang-kurangnya 39% dan margin keuntungan bersih sekitar 16% bagi tempoh FY25 hingga FY27, disokong oleh kepimpinan pasaran Topmix serta kuasa penetapan harga yang kukuh.
Firma itu mengunjurkan hasil Topmix meningkat kepada RM146.5 juta pada FY27, iaitu kenaikan 57.6% berbanding RM92.9 juta pada FY24, sambil mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran HPL di Malaysia.
Topmix diasaskan pada 2006 sebagai pengimport dan pengedar produk HPL generik dari China, sebelum berkembang membina jenama sendiri sejajar dengan permintaan pelanggan terhadap reka bentuk yang lebih moden dan berorientasikan trend. - DagangNews.com








