TNB perkasa masjid sebagai nadi komuniti melalui sumbangan Zakat Wakalah Ramadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB perkasa masjid sebagai nadi komuniti melalui sumbangan Zakat Wakalah Ramadan

Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (hadapan kiri) menyampaikan sumbangan Zakat Wakalah sebanyak RM20,000 kepada wakil salah sebuah masjid penerima iaitu Masjid Bukit Indera Muda, sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, Pulau Pinang pada 18 Mac 2025
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Mac - Dalam usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang progresif dan inklusif, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyalurkan RM400,000 dalam bentuk Zakat Wakalah kepada 20 masjid terpilih di sekitar Pulau Pinang menerusi Program Ihya Ramadan tahun ini.

 

Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti yang berterusan selain penambahbaikan fasiliti masjid.

 

Antara usaha penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pembaikan bumbung serta sistem penyaman udara dan lampu, penambahbaikan ruang solat, pembinaan tandas tambahan serta pemasangan sistem audio visual bagi kemudahan pengajian dan ceramah agama.

 

Ini memastikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran, kebajikan dan perpaduan masyarakat.

 

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid kepada para wakil pengurusan masjid yang terlibat. Penyerahan ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hadir sempena Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai.

 

Menurut Tan Sri Abdul Razak, inisiatif ini adalah bukti komitmen TNB dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang penting dalam pembangunan sosial dan kesejahteraan setempat terutamanya dalam membina masa depan yang lebih sejahtera untuk masyarakat.

 

“TNB bukan sekadar pembekal tenaga elektrik, kami adalah sebahagian daripada komuniti dan ini adalah bukti komitmen kami.
 

"Sumbangan Zakat Wakalah ini adalah tanggungjawab kami kepada institusi keagamaan demi memastikan masjid kekal sebagai tempat yang memberi perlindungan, sokongan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.


"Sejajar dengan semangat Ramadan, kami berharap sumbangan ini membawa makna yang lebih besar kepada rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan yang lebih baik atau bantuan terus kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

 

Inisiatif ini juga mencerminkan sokongan TNB terhadap aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman sosial.

 

Dengan memperkasa institusi keagamaan sebagai pusat pembangunan komuniti, ia akan membantu golongan yang memerlukan serta memupuk nilai keprihatinan dan perpaduan dalam masyarakat.

 

Dalam usaha berterusan, TNB turut mengadakan Program Ihya’ Ramadan di Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar yang mencerminkan komitmennya sebagai rakan komuniti melalui aktiviti harian seperti solat tarawih, iftar dan agihan lebih 2,000 pek makanan; orang ramai turut dijemput hadir bagi merasai suasana meriah di penghujung Ramadan serta mengeratkan silaturahim. - DagangNews.com