KUALA LUMPUR 13 Feb - Tenaga Nasional Bhd (TNB) muncul sebagai pemenang terbesar dalam proses bidaan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi pembangunan loji janakuasa gas baharu serta lanjutan operasi loji janakuasa sedia ada.
Dalam kenyataan hari ini, ST memaklumkan konsortium antara TNB dan Aurora Power Generation Sdn Bhd berjaya memenangi bidaan bagi cadangan pembinaan loji janakuasa kitaran gabungan berkapasiti 1,400 megawatt (MW) di Paka, Terengganu.
Menurut ST, kapasiti tambahan itu diperlukan bagi menyokong pertumbuhan permintaan elektrik yang dijangka meningkat, khususnya daripada pembangunan pusat data baharu, selain memastikan kestabilan sistem bekalan elektrik negara.
“Proses ini dilaksanakan selaras dengan piawaian bidaan kompetitif antarabangsa,” katanya, sambil menambah bahawa proses berkenaan yang dilancarkan pada 2025 itu merupakan bidaan kompetitif pertama bagi loji janakuasa terma sejak 2012 dan menarik penyertaan pemain sedia ada serta baharu.
Bagi lanjutan operasi loji janakuasa sedia ada, tiga loji berkaitan TNB memperoleh kelulusan lanjutan, masing-masing Loji Janakuasa Gelugor di Pulau Pinang (310MW), Loji Janakuasa Putrajaya (249MW) dan Loji Janakuasa Tuanku Ja’afar (PD1) di Port Dickson (703MW).
Edra Power Holdings Sdn Bhd turut memperoleh lanjutan bagi dua pengeluar tenaga bebas (IPP), iaitu Panglima Power Sdn Bhd di Melaka (700MW) dan Kuala Langat Power Sdn Bhd di Selangor (675MW).
Sementara itu, PETRONAS melalui anak syarikat tidak langsungnya, Pengerang Power Sdn Bhd, memperoleh tambahan kapasiti sebanyak 150MW.
Malakoff Corp Bhd pula, seperti diumumkan sebelum ini, memperoleh lanjutan operasi bagi tiga loji milik Segari Energy Ventures Sdn Bhd di Perak (1,303MW), GB3 Sdn Bhd di Perak (429MW) dan Prai Power Sdn Bhd di Pulau Pinang (350MW), dengan lanjutan sehingga 31 Disember 2029. - DagangNews.com








