KUALA LUMPUR 12 Jan – RHB Investment Bank (RHB Research) mengekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pilihan utama sektor utiliti dengan potensi kenaikan 15% susulan semakan naik harga sasaran kepada RM15.60 daripada RM14.80 sebelum ini.
Selain itu tambah RHB Research, saham TNB turut disokong oleh asas pendapatan terkawal yang stabil di bawah rangka kerja Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).
Kata firma penyelidikan itu lagi, saham TNB diberikan penarafan BELI turut menawarkan hasil dividen sekitar empat peratus bagi tahun kewangan 2026 (FY26F), menjadikannya antara kaunter defensif yang menarik dalam persekitaran pasaran semasa.
"Kami mengenal pasti tiga pemangkin utama yang dijangka meningkatkan pendapatan dan penilaian Tenaga Nasional TNB) pada tahun ini, iaitu:
i) kelulusan Elaun Pelaburan Semula (Reinvestment Allowance, RIA) yang mengurangkan kadar cukai efektif (ETR);
ii) kelulusan perbelanjaan modal luar jangka (contingency capex); dan
iii) penganugerahan serta lanjutan loji janakuasa gas baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dari segi cukai, RHB berkata, TNB pada suku ketiga 2025 (3Q25) telah mengiktiraf rawatan cukai sekali sahaja berjumlah RM10.6 bilion dalam kunci kira-kiranya, sekali gus menghapuskan risiko kesan ke atas penyata untung rugi.
Selain itu, kelulusan kerajaan bagi pengiktirafan RIA ke atas perbelanjaan modal terdahulu dijangka membantu menurunkan ETR.
Berdasarkan analisis sensitiviti, setiap pengurangan dua mata peratusan ETR berpotensi meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) dan nilai saksama sebanyak tiga peratus.
Dari sudut pelaburan modal, kata RHB, unjuran semasa mengambil kira pulangan diluluskan sebanyak 7.3% ke atas capex asas RM26 bilion bagi RP4. Namun, terdapat potensi kenaikan sekiranya tambahan RM16 bilion contingency capex diluluskan, yang akan meningkatkan jumlah capex RP4 kepada RM42 bilion.
"Kelulusan ini dijangka dipacu oleh pelaksanaan projek seperti Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Solar Skala Besar 6 (LSS6) dan MyBeST, yang memerlukan penaiktarafan grid," katanya.
Dalam segmen penjanaan, TNB telah memperoleh surat pemberitahuan bagi tiga loji janakuasa gas berkapasiti keseluruhan 1.3 gigawatt (GW) di bawah bidaan Kategori 1 Suruhanjaya Tenaga.
Syarikat itu juga dilihat berpotensi memperoleh lanjutan bagi tambahan kapasiti 1.2GW serta menjadi pendahulu dalam tender Kategori 2 bagi pembinaan loji janakuasa gas baharu berkapasiti 6 hingga 8GW menjelang 2030.
Susulan perkembangan tersebut, firma penyelidikan berkenaan menaikkan unjuran keuntungan bersih TNB bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 11%, 21% dan 25%, selain melaraskan unjuran bagi mengambil kira lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) serta kos faedah yang lebih rendah.
Pada penilaian semasa, saham TNB didagangkan di bawah purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tiga tahunnya, yang disifatkan tidak mencerminkan kedudukan syarikat sebagai penerima manfaat utama peningkatan permintaan elektrik.
Harga sasaran RM15.60 ditetapkan berdasarkan P/E 19 kali bagi FY26, iaitu satu premium yang dianggap munasabah.
Bagaimanapun, laporan itu turut menegaskan beberapa risiko utama kepada prospek TNB, termasuk pelaksanaan cukai karbon, kelewatan kelulusan perbelanjaan modal dan kadar cukai efektif yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com








