TNB kekal saham pilihan dengan permintaan elektrik diramal terus meningkat - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB kekal saham pilihan dengan permintaan elektrik diramal terus meningkat - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengekalkan daya tarikan sebagai saham pilihan penganalisis walaupun keuntungan teras susut pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25). 

 

Permintaan elektrik pula terus mencatat rekod baharu dengan lonjakan penggunaan daripada sektor komersial.

 

Firma penyelidikan MBSB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran berasaskan DCF tidak berubah pada RM16.40, disokong oleh kerangka tarif baharu di bawah RP4 yang memberi kestabilan dan ketelusan lebih baik melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA).

 

"Mekanisme ini menghapuskan kelewatan pemulihan kos bahan api, sekali gus melindungi TNB daripada turun naik harga bahan api," kata firma itu.

 

Permintaan elektrik dijangka berkembang 3.5 hingga 4.5 peratus tahun ini. Pada Mei 2025, permintaan puncak mencatat tiga paras tertinggi baharu, dengan kemuncak pada 27 Mei sebanyak 20.75GW, menyumbang kepada rekod permintaan suku tahunan tertinggi iaitu 33.8 TWh.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata keputusan kewangan 2QFY25 TNB selari dengan jangkaan, walaupun keuntungan bersih teras menyusut secara sukuan berikutan kos bukan bahan api yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan, risiko-ganjaran TNB kekal menarik kerana faktor overhang cukai (sekitar RM1.16 sesaham) telahpun diambil kira dalam harga saham. 

 

"Saranan BELI dikekalkan dengan harga sasaran (TP) berasaskan DCF pada RM15.50," kata firma itu.

 

Firma itu berkata, tidak termasuk kesan MFRS 16, keuntungan bersih teras 2Q25 ialah RM1.01 bilion (-32% YoY, -14% QoQ), menjadikan jumlah keuntungan bersih teras separuh pertama 2025 kepada RM2.20 bilion, iaitu 47% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan dan konsensus pasaran.

 

MFRS 16 meningkatkan EBITDA sebanyak RM996 juta, namun mengurangkan keuntungan bersih sebanyak RM174 juta. Dividen interim 25 sen sesaham diumumkan, tidak berubah berbanding tahun lalu.

 

Penjanaan elektrik 2Q25 melonjak 7.5% QoQ (+2.1% YoY), selari dengan peningkatan permintaan sebanyak 7.2% QoQ (+2.0% YoY), dipacu oleh segmen komersial dan domestik.

 

Bahagian penjanaan arang batu meningkat kepada 61.3% (+3.4ppt QoQ), manakala harga arang batu susut 8% QoQ. Dengan harga arang batu rujukan RP4 yang lebih tinggi, TNB sekali lagi mencatatkan lebihan kutipan kos penjanaan sebanyak RM589 juta (berbanding RM175 juta pada 1Q25).

 

Sementara itu, dengan tarif baharu hanya berkuat kuasa pada 3Q25, TNB melaporkan kekurangan hasil terkawal sebanyak RM1.6 bilion (berbanding RM2.0 bilion pada 1Q25).

 

TNB juga memaklumkan bahawa ia telah memulakan proses menuntut elaun pelaburan di bawah Jadual 7B, yang ketika ini sedang disemak oleh Kementerian Kewangan.

 

Firma CGS International pula berpandangan kelemahan harga saham semasa merupakan peluang untuk menambah pegangan. 

 

Katanya, walaupun terdapat risiko hasil kes cukai yang tidak memihak, sasaran harga (TP) hanya akan susut kepada RM16.77 — masih 25% lebih tinggi daripada paras semasa.

 

Sasaran harga kekal pada RM18.00 berdasarkan penilaian SOP, dengan potensi lonjakan jangka panjang hasil daripada peningkatan capex di bawah RP4.

 

"Faktor pemangkin lain termasuk penyelesaian isu cukai, mekanisme imbuhan capex bersyarat, serta penyertaan GenCo dalam tender baharu gas dan tenaga boleh diperbaharui.

 

"Namun, risiko utama termasuk kenaikan kos operasi (opex) lebih tinggi daripada jangkaan, lonjakan harga bahan api, dan perubahan negatif terhadap rangka kerja Incentive-Based Regulation (IBR)," kata firma itu.  - DagangNews.com