TMT dilantik sebagai peruncit sah Starlink, bawa akses internet berkelajuan tinggi ke seluruh Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMT dilantik sebagai peruncit sah Starlink, bawa akses internet berkelajuan tinggi ke seluruh Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - Peruncit teknologi terbesar di Malaysia, Thunder Match Technology Sdn. Bhd. (TMT), mengumumkan pelantikannya sebagai peruncit sah untuk Starlink, perkhidmatan internet satelit oleh SpaceX Exploration Technologies Corp. 

 

Kerjasama itu bakal membawa internet berkelajuan tinggi yang luar biasa ke kawasan-kawasan terpencil dan sukar dijangkau di seluruh negara, memperkukuh misi TMT dalam memperkasakan komuniti melalui rumusan teknologi termaju.

 

Teknologi satelit Starlink memanfaatkan rangkaian satelit orbit rendah Bumi (LEO) untuk menawarkan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan kependaman rendah. 

 

Inovasi canggih tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang digital di Malaysia, memastikan akses internet yang boleh dipercayai untuk isi rumah dan perniagaan, meskipun di lokasi yang paling sukar dijangkau.

 

Pengurusan Thunder Match Technology Sdn. Bhd. barkata, pelantikan syarikatnya menandakan langkah penting dalam perjalanan TMT untuk memperkenalkan rumusan teknologi yang benar-benar memberi kesan. 

 

"Teknologi satelit Starlink menawarkan rumusan yang belum pernah ada sebelumnya untuk menangani cabaran ketersambungan yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan. 

 

"Dengan membawa teknologi canggih ini kepada pelanggan, kami mahu memperkasakan individu dan perniagaan, memberi mereka alat untuk mengakses pendidikan, meningkatkan peluang dan memperbaiki kualiti hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dengan lebih 48 cawangan di seluruh negara dan platform dalam talian yang mantap, TMT memastikan produk Starlink akan dapat diakses oleh rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. 

 

Kerjasama berkenaan akan membuka peluang baharu dalam bidang pendidikan luar bandar, penjagaan kesihatan, operasi perniagaan dan banyak lagi, sekali gus mempercepatkan keterangkuman digital di seluruh negara.

 

Sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan tersebut, TMT merancang untuk menawarkan promosi khas serta perkhidmatan nilai tambah bagi pengguna awal teknologi Starlink.

 

Maklumat lanjut mengenai promosi tersebut akan diumumkan tidak lama lagi. - DagangNews.com