TMK Chemical catat hasil RM284.6 juta pada 3QFY25, sasar manfaat daripada lonjakan aktiviti nadir bumi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMK Chemical catat hasil RM284.6 juta pada 3QFY25, sasar manfaat daripada lonjakan aktiviti nadir bumi

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 26 Nov - TMK Chemical Bhd yakin pengembangan kapasiti yang sedang dijalankan termasuk pembangunan Banting Plant 2, mampu menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat dalam beberapa tahun akan datang.

 

Dalam kenyataan hari ini, TMK berkata, Banting Plant 2 yang dijangka siap dan mula beroperasi pada 2027 itu bakal menggandakan kapasiti derivatif klor-alkali sedia ada, sekali gus memberi ruang kepada TMK untuk meningkatkan potensi hasil pada masa depan.

 

"Pada masa ini, loji sedia ada syarikat terus beroperasi pada kadar penggunaan melebihi 80%, mencerminkan permintaan kukuh daripada pelanggan industri. 

 

"Kadar penggunaan yang tinggi ini turut mengesahkan keperluan TMK untuk menambah kapasiti bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan," kata kumpulan itu ketika mengumumkan laporan suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) hari ini.

 

Bagi suku yang dikaji, TMK mencatat peningkatan hasil sebanyak 7.9% suku ke suku kepada RM284.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 22.2% kepada RM32.0 juta. 

 

Permintaan yang lebih kukuh serta penggunaan kapasiti kilang pada paras lebih tinggi membantu meningkatkan margin keuntungan. 

 

Keuntungan selepas cukai turut mengukuh kepada RM26.1 juta, meningkat 22.8% berbanding RM21.3 juta pada suku sebelumnya.

 

Menurut TMK, selain pengembangan loji, kumpulan turut dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat dalam aktiviti pemprosesan nadir bumi di Malaysia, terutamanya melibatkan pengendali utama yang memerlukan penggunaan bahan kimia bukan organik dalam jumlah besar.

 

Katanya, prospek cerah sektor nadir bumi ini dijangka merancakkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan TMK dalam tahun-tahun mendatang, sekali gus mengukuhkan keyakinan Kumpulan terhadap prospek pasaran sederhana yang stabil dan berkembang.

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan TMK, Wong Kin Wah, berkata peningkatan jelas pada suku tersebut didorong oleh pemulihan bertahap dalam permintaan serta kecekapan operasi yang semakin kukuh.

 

“Kadar penggunaan kilang yang lebih tinggi menyumbang kepada peluasan margin, manakala permintaan serantau di Malaysia, Singapura dan Vietnam terus mengukuh seiring pemulihan aktiviti industri,” katanya.

 

Beliau menegaskan walaupun TMK berdepan cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik global, turun naik kadar pertukaran mata wang dan persaingan industri, syarikat tetap berada pada landasan stabil hasil komitmen terhadap pengoptimuman kos, peningkatan produktiviti dan pengukuhan rantaian bekalan.

 

“Dengan asas yang kukuh ini, Kumpulan kekal optimis untuk mengekalkan momentum positif sehingga 2026 dan 2027,” tambahnya.

 

Lembaga Pengarah telah meluluskan dividen interim sebanyak 2.1 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang akan dibayar pada 9 Januari 2026. - DagangNews.com