TMC Life Sciences lantik Ahmad Adzuan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan berkuat kuasa 10 Februari 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMC Life Sciences lantik Ahmad Adzuan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan berkuat kuasa 10 Februari 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - TMC Life Sciences Bhd (TMCLS) melantik Datuk Dr Ahmad Adzuan Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, berkuat kuasa hari ini.

 

Pada masa sama, beliau akan memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan Serantau Thomson Medical Group.

 

Dengan lebih daripada dua dekad pengalaman yang merangkumi amalan klinikal, pengurusan kanan dan kepimpinan strategik, Dr Ahmad Adzuan membawa pelbagai kepakaran dalam operasi hospital, strategi korporat dan memacu pertumbuhan organisasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Thompson Medical Group, Dr Melvin Heng berkata, pengalaman yang dimiliki Dr. Adzuan sebagai pengamal perubatan, digabungkan dengan kepimpinan dalam pengurusan hospital dan industri penjagaan kesihatan meletakkannya secara unik untuk memacu pertumbuhan dan transformasi TMC Life Sciences.

 

"Visi strategik dan keupayaan beliau untuk menjalin perkongsian yang kukuh akan menjadi penting dalam meletakkan TMC Life Sciences  sebagai pemain utama dalam landskap penjagaan kesihatan rantau ini, membolehkan kami memberikan nilai yang lebih besar kepada kedua-dua pesakit dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ahmad Adzuan merupakan ahli pengasas dan merupakan penasihat Novotec Group Pte Ltd, dan pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan wilayah dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan IDS Medical Systems (idsMED) dari Oktober 2020 hingga Jun 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Nadiah didapati bersalah atas salah laku selepas siasatan domestik TMC Life Sciences

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur dari Mac 2015 hingga Ogos 2018.

 

Dr Ahmad Adzuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan serta Ijazah Sarjana Muda Obstetrik dari Queen's University Belfast, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari International Institute for Management Development, Switzerland.

 

Dalam perkembangan sama, TMC Life Siences mengumumkan, jawatan Dr Melvin ditetapkan semula sebagai Pengarah Bukan Eksekutif  dan beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan di Thomson Medical Group Ltd, Singapura.

 

Sementara itu, Dr Ahmad Adzuan berkata, terdapat potensi besar untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bukan sahaja di Malaysia tetapi merentasi rantau Asia Tenggara yang lebih luas. 

 

"Dengan visi yang jelas dan asas yang kukuh, TMC Life Sciences berada pada kedudukan yang sangat baik untuk menjadi peneraju dalam landskap penjagaan kesihatan di rantau ini," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 58.7% pemegang saham TMC Life Sciences luluskan resolusi memecat Wan Nadiah sebagai pengarah

 

Sebelum ini, CEO Kumpulan TMC Life Sciences dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob  dipecat daripada jawatan itu atas dakwaan salah laku.

 

Pemecatan itu berlaku sehari selepas pemegang saham TMC Life Sciences, pada mesyuarat agung luar biasa, mengundi untuk memecat beliau sebagai pengarah eksekutif syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

 

Wan Nadiah, yang sebelum itu digantung daripada peranannya pada Januari 2024, pada mulanya menghadapi enam dakwaan salah laku. Dakwaan ini kemudiannya berkembang kepada 15 pada Mac 2024, tetapi dikurangkan kepada lapan pada bulan Ogos 2024, dan seterusnya dikurangkan kepada lima semasa siasatan domestik.- DagangNews.com