KUALA LUMPUR 24 April – Tinjauan oleh badan pemikir Datametrics Research and Information Centre (DARE) mendapati 94.7% pemilik perniagaan dalam talian yang maklum tentang e-invois mahukan pengecualian daripada kewajipan e-invois kerajaan kerana ia terlalu rumit (87.3%) atau mengelirukan (12.7%).
Tinjauan yang melibatkan 516 usahawan mikro dalam talian yang berpendapatan kurang daripada RM150,000 setahun itu dijalankan dalam tempoh dua minggu menerusi saluran dalam talian dan fizikal.
Ia turut mendedahkan bahawa hanya 40.1% daripada responden sedar tentang kewujudan e-invois. Penemuan ini menunjukkan jurang ketara dari segi pemahaman dan kesiapsiagaan, sedangkan kerajaan merancang untuk mewajibkan penggunaan e-invois kepada semua perniagaan, termasuk penjual dalam talian berpendapatan rendah bermula 1 Januari 2026.
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, usaha kerajaan untuk memperkenalkan e-invois adalah sebahagian daripada agenda pendigitalan ekonomi. Namun, pelaksanaannya secara menyeluruh tanpa pengecualian boleh membebankan perniagaan kecil.

Tinjauan ini dijalankan sebagai semakan sentimen selama dua minggu untuk memahami pandangan usahawan mikro dalam talian, terutamanya selepas peningkatan liputan media dan perhatian awam terhadap isu e-invois.
"Sentimennya jelas, ramai yang keliru, bimbang, dan rasa tidak bersedia.
“Penemuan ini menunjukkan perlunya kerajaan menilai semula pendekatan sedia ada dan menjalankan kajian mendalam tentang kesan dasar ini terhadap ekonomi mikro digital," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama kata Pankaj, inisiatif pendidikan dan sokongan yang bersasar harus diperkenalkan bagi membantu penjual kecil dalam talian memahami keperluan serta kaedah pematuhan.
"Tanpa pendekatan ini, kita berisiko menyukarkan pematuhan dalam kalangan kumpulan yang sepatutnya kita beri perhatian,” ujar beliau.
Tinjauan turut mendapati tahap kesedaran dan kefahaman terhadap keperluan e-invois adalah rendah. Lebih separuh daripada responden (59.9%) tidak pernah mendengar tentang e-invois, manakala 78.1% menyuarakan kebimbangan terhadap impak pelaksanaan e-invois ke atas operasi harian mereka.

Dari segi tindakan yang mungkin diambil apabila pelaksanaan diwajibkan, hanya 22.7% responden menyatakan akan cuba patuh. Sebaliknya, 31.6% menyatakan hasrat untuk berhenti berniaga dalam talian.
Seramai 21.1% memilih pendekatan “tunggu dan lihat”, manakala 24.6% menyatakan mereka tidak akan patuh langsung — menunjukkan potensi besar untuk ketidakpatuhan dan gangguan terhadap ekonomi mikro digital.
Pankaj menambah bahawa keputusan ini menunjukkan keperluan untuk penggubal dasar menilai semula pendekatan semasa, terutamanya bagi penjual mikro dalam talian yang beroperasi di pinggiran ekonomi digital.
“Mereka ini bukan syarikat besar dengan pasukan akauntan atau infrastruktur digital. Ramai dalam kalangan penjual ini adalah individu yang mencari pendapatan tambahan melalui saluran digital tidak formal.
Bagi mereka, pelaksanaan sistem e-invois yang asing dan teknikal bukan sekadar pelarasan prosedur, tetapi gangguan besar terhadap operasi harian.
“Jika kumpulan ini dipaksa untuk patuh tanpa sokongan atau pengecualian yang mencukupi, kita berisiko menyingkirkan mereka sepenuhnya daripada ekonomi digital. Ini bertentangan dengan semangat sebenar untuk memperkasakan usahawan mikro dan memperluaskan penyertaan ekonomi melalui platform digital.
"Kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan berperingkat, berlapis, atau pengecualian bagi melindungi dan menyokong penjual mikro dalam talian di Malaysia,” ujar Pankaj.
DARE sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui sesi libat urus dan perbincangan dasar bagi memastikan pelaksanaan e-invois selari dengan matlamat pendigitalan negara tanpa membebankan usahawan mikro dalam talian secara tidak seimbang. - DagangNews.com








