Tindakan keras Indonesia rampas tanah berisiko ancam syarikat perladangan Malaysia - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan keras Indonesia rampas tanah berisiko ancam syarikat perladangan Malaysia - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Julai — Syarikat-syarikat perladangan Malaysia berdepan risiko pengawalseliaan yang semakin meningkat di Indonesia berikutan tindakan keras pemerintahnya, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah penguatkuasaan secara besar-besaran itu termasuk merampas tanah yang tiada mempunyai permit perhutanan atau melanggar undang-undang guna tanah.

 

Secara keseluruhan katanya, rampasan tanah belum lagi dilaksanakan pihak berkuasa republik itu ke atas mana-mana syarikat perladangan huluan dari Malaysia dengan memiliki ladang di Indonesia.

 

"Jika berlaku, ia menandakan peningkatan risiko khususnya SD Guthrie Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), IOI Berhad dan Genting Plantations Berhad," kata CIMB Securities dalam notanya.

 

Langkah kawal selia itu juga tambahnya, boleh mencetuskan penelitian amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih tinggi daripada pelabur asing terutama risiko penebangan hutan.

 

Ia juga mungkin menimbulkan kebimbangan mengenai peralihan penguatkuasaan masa depan dan premium risiko tinggi khususnya isu pemilikan tanah untuk syarikat-syarikat yang terdedah di Indonesia.

 

Perbincangan dengan beberapa syarikat perladangan di bawah liputan CIMB Securities menunjukkan potensi kesan kewangan daripada isu status tanah perhutanan Indonesia yang tidak mungkin signifikan.

 

"Bagaimanapun, mereka masih mencari penjelasan lanjut, dan menilai risiko awal pengawalseliaan secara berterusan untuk operasi ladang kelapa sawit syarikat tersebut di Indonesia," kata firma itu.

 

Genting Plantations memperuntukkan RM66 juta pada suku pertama 2025 untuk mengambil kira potensi kerugian hasil daripada sebahagian ladangnya di Indonesia yang ditandakan sebagai tanah hutan.

 

Selain itu CIMB Securities mendapati Genting Plantations, KLK, dan SD Guthrie disenaraikan dalam dekri Kementerian Perhutanan Indonesia di bawah peraturan baharu beroperasi di kawasan hutan.

 

Pihak berkuasa negara itu juga menyenaraikan syarikat beroperasi secara haram di hutannya tanpa permit merangkumi proses pengesahan sebelum tarikh akhir dan yang ditolak kerana gagal pematuhan.

 

Pemerintah Indonesia telah memindahkan 394,547 hektar ladang kelapa sawit yang dirampas kepada Agrinas Palma Nusantara — sebuah syarikat minyak sawit milik kerajaan yang baru ditubuhkan.

 

"Ia diletakkan terus di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dan menjadikan jumlah keluasan semua tanah diuruskan oleh firma berkenaan kepada lebih 833,000 hektar," kata CIMB Securities.

 

Tanah dirampas itu dikendalikan oleh 232 syarikat swasta terutamanya melibatkan ladang yang dibangunkan dalam zon hutan ditetapkan tanpa permit atau melanggar peraturan. - DagangNews.com