KUALA LUMPUR 7 Julai — TIME dotCom Berhad dan Maxis Berhad diunjur mampu mengagihkan dividen khas pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025, menurut Kenanga Research.
Firma itu berkata, perkembangan positif tersebut disokong oleh keperluan kurang perbelanjaan modal dan tumpuan lebih besar pada usaha pengoptimuman kunci kira-kira kumpulan masing-masing.
Walaupun ia mengekalkan pandangan 'neutral' mengenai sektor telekomunikasi dan menanti kejelasan lanjut mengenai dasar dwirangkaian 5G, prospek pembayaran istimewa itu menawarkan sorotan positif.
"Penjajaran pengendali rangkaian mudah alih (MNO) kepada sama ada rangkaian kedua (NW2) atau sedia ada Digital Nasional Berhad (DNB) akan menjadi penentu utama trajektori hasil sektor ini," katanya.
Selain itu tambah firma tersebut, komitmen perbelanjaan modal dan keupayaan pembayaran dividen akan diambil kira namun buat masa ini, ia memilih pengendali talian yang kurang terdedah kepada risiko.
U Mobile kata Kenanga, telah melancarkan NW2, dengan Huawei mengetuai penempatan di Semenanjung Malaysia manakala ZTE pula mengendalikan liputan rangkaian berkenaan di seluruh Sabah dan Sarawak.
Projek tersebut turut disokong oleh CIMB Bank sebagai penyelaras pembiayaan sehingga RM4 bilion, namun U Mobile bertindak keluar daripada DNB, rangkaian borong 5G milik kerajaan, pada Mei 2025.
Syarikat telekomunikasi berkenaan menjual keseluruhan sebanyak 100,000 sahamnya kepada baki MNO, sejajar dengan perjanjian penstrukturan semula pegangan saham yang ditandatangani pada akhir 2023.
"U Mobile menyasarkan 80 peratus liputan 5G bagi kawasan berpenduduk pada separuh kedua 2026, dengan rancangan untuk menggunakan 4,000 hingga 4,500 tapak 5G pada tahun hadapan," kata Kenanga.
Langkah tersebut tambahnya, sebagai sebahagian daripada 7,000 tapak yang lebih besar dan merangkumi liputan dalam bangunan untuk 400 buah bangunan sepanjang tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Sementara itu, CIMB Securities dalam nota berasingan berkata, U Mobile boleh mengalami kerugian di tengah-tengah usaha untuk meningkatkan pelaburan bagi melancarkan rangkaian 5G kedua negara.
Unjuran tersebut diramalkan firma itu pada separuh kedua 2025, kerana firma berkenaan menjangkakan perbelanjaan modal syarikat boleh mencecah kira-kira RM3 bilion sepanjang tempoh pelancaran.
Ia namun menyatakan pertumbuhannya mengatasi rakan setaranya, dipacu pelan pascabayar, pengembangan liputan, dan penawaran produk menyumbang kepada 3.4% pada FY24. - DagangNews.com








