Tiga PKS Tempatan Kongsi Impak Sokongan SJPP: Mampu Naik Taraf Operasi, Stabilkan Kos dan Teroka Pasaran Baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga PKS Tempatan Kongsi Impak Sokongan SJPP: Mampu Naik Taraf Operasi, Stabilkan Kos dan Teroka Pasaran Baharu

Kisah kejayaan Tonasco Malaysia, Molhit Pack dan Bubbles O2 sebagai PKS yang menerima sokongan SJPP merentasi industri pengeluaran, pembungkusan dan FMCG.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 MacPeningkatan permintaan pelanggan, saiz projek yang semakin besar serta peluang meneroka pasaran baharu merupakan antara faktor yang membuka ruang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan serta memastikan syarikat terus berdaya maju.

 

Namun begitu, antara cabaran utama yang sering menjadi kekangan kepada PKS ialah akses kepada pembiayaan kewangan, bukan kerana PKS tidak berpotensi tetapi kerana proses yang memakan masa, keperluan cagaran yang tinggi serta terma pembiayaan institusi kewangan yang kadangkala tidak selari dengan keperluan perkembangan perniagaan.

 

Di sinilah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) memainkan peranan dalam membantu PKS.

 

Melalui mekanisme skim jaminan oleh Kerajaan, SJPP berupaya meningkatkan keyakinan institusi kewangan untuk menawarkan pembiayaan kepada PKS berdasarkan potensi dan pelan pertumbuhan perniagaan.


 

sjpp

 


Hasilnya, lebih banyak PKS dapat merealisasikan rancangan perniagaan mereka seperti pembelian mesin dan peralatan baharu, peningkatan kapasiti pengeluaran, pengukuhan operasi serta persediaan untuk menembusi pasaran baharu.

 

Antara syarikat PKS yang berjaya mendapatkan pembiayaan melalui skim jaminan yang diuruskan SJPP ialah:

 

  1. Tonasco Malaysia Sdn Bhd (Pembuatan Pintar/Pemesinan Tepat)

Dalam industri pemesinan tepat, kelajuan dan ketepatan penghasilan produk bukan lagi merupakan kelebihan bagi sesuatu syarikat, sebaliknya telah menjadi satu keperluan asas.


 

Lin Sheau Wei
Lin Sheau Wei

 


Dengan pengalaman beroperasi lebih 20 tahun, Tonasco memahami bahawa untuk terus kekal relevan, pelaburan dalam mesin bernilai tinggi dan pendekatan “kilang pintar” merupakan strategi penting, dan proses itu dipermudahkan dengan sokongan daripada SJPP.

 

Menurut Lin Sheau Wei, Pengarah Urusan Tonasco Malaysia Sdn Bhd: “Pembiayaan melalui skim jaminan Kerajaan yang diuruskan SJPP membantu syarikat memperkukuh pelaburan dalam mesin berteknologi tinggi serta mempercepatkan hala tuju ke arah pembangunan kilang pintar. Hasilnya, syarikat dapat mempertingkatkan daya saing dan membina keupayaan baharu selari dengan agenda penaiktarafan yang dirancang.”

 

Pelaburan ini membolehkan Tonasco menyusun semula kapasiti dan produktiviti secara lebih tersusun, sekali gus mengukuhkan keupayaan operasi untuk memenuhi kehendak pelanggan serta piawaian industri yang semakin meningkat.

 

  1. Molhit Pack Sdn Bhd (Percetakan dan Pembungkusan)

Bagi perniagaan percetakan dan pembungkusan, cabarannya bukan sahaja pada permintaan pasaran, malah turut melibatkan keupayaan untuk menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat, konsisten dan berskala besar.


 

mOLHIT
Fatin Fatinah Molhit

 


Molhit Pack memanfaatkan pembiayaan yang diperoleh untuk menstabilkan kos operasi dan meningkatkan kapasiti syarikat dengan berpindah ke gudang yang lebih besar, menambah tenaga kerja serta membeli mesin baharu bagi meningkatkan produktiviti.

 

Pelaburan dalam pembelian mesin percetakan baharu itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah turut memperluaskan penawaran perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan jualan tanpa menjejaskan kualiti produk.

 

Menurut Fatin Fatinah Molhit, Pengarah Urusan Molhit Pack Sdn Bhd:

 

“SJPP menjadi pemangkin penting yang memperkukuh keyakinan institusi kewangan, sekali gus menyokong pertumbuhan dan perkembangan perniagaan Molhit Pack secara lebih mampan.”

 

  1. Bubbles O2 Sdn Bhd (FMCG/Air Mineral Semula Jadi Premium)

Cabaran pembiayaan bukan kerana rekod kewangan yang bermasalah atau lemah, tetapi kerana rekod kewangan yang “terlalu bersih”.

 

Bagi Bubbles O2, yang beroperasi sejak 2018, ketiadaan rekod pembiayaan korporat sebelum ini menyebabkan penilaian risiko lebih ketat dan proses pembiayaan mengambil masa lebih panjang oleh pihak institusi kewangan.

 

 

Ain Azizah Binti Ariffin
Ain Azizah Ariffin

 


Dengan skim jaminan SJPP, keyakinan institusi kewangan untuk memberikan pembiayaan meningkat dan tekanan cagaran berkurang. Hal ini membolehkan syarikat merancang tenaga kerja serta perbelanjaan kos operasi dengan lebih stabil.

 

Menurut Ain Azizah Ariffin, Pengarah Urusan Bubbles O2 Sdn Bhd: “SJPP berperanan sebagai pemacu keyakinan kewangan yang membolehkan syarikat berkembang dari segi operasi secara lebih terancang dan mampan.”

 

Hasilnya, dalam tempoh enam hingga 12 bulan, syarikat-syarikat ini melaporkan perubahan ketara dari segi perancangan kos operasi yang lebih tersusun, aliran tunai lebih lancar, rantaian bekalan lebih stabil, malah kepercayaan serta kredibiliti dengan pembekal dan rakan kewangan turut meningkat. - DagangNews.com