Tiada projek HSR KL-Singapura, KV MRT3 dalam senarai RMK13 satu 'kekecewaan' - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada projek HSR KL-Singapura, KV MRT3 dalam senarai RMK13 satu 'kekecewaan' - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Ketiadaan pengumuman mengenai dua projek prasarana rel mega dalam senarai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menarik minat Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, projek berkenaan ialah Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura serta Transit Aliran Massa Lembah Klang Ketiga (KV MRT3).

 

Katanya, ketiadaan kedua-dua projek itu mencetuskan 'kekecewaan', namun ia menambah, kerajaan mungkin mempunyai strategi dan perancangan yang tersendiri dalam tempoh lima tahun tersebut.

 

 

 

 

 

"Satu 'kekecewaan' dalam RMK13 adalah langsung tidak disebut mengenai HSR dan KV MRT3 walaupun beberapa projek rel yang lain pula disahkan kerajaan," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Ia merujuk antaranya pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) Johor Bahru dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan.

 

Begitu juga Projek Ketersambungan Rel ASEAN serta pengoperasian landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru, LRT3 di Lembah Klang dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS).

 

Bagaimanapun tambah Maybank IB, ketiadaan HSR dan KV MRT3 juga mencerminkan fokus RMK13 kepada penggunaan serta kebolehcapaian sambungan jarak jauh infrastruktur pengangkutan awam sedia ada.

 

"Justeru, langkah-langkah seperti menambah bilangan kereta api penumpang dan bas awam termasuk perkhidmatan perantara di bandar-bandar besar diberi keutamaan oleh pihak kerajaan," katanya.

 

Ia memberi contoh penyiapan projek landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) baharu yang menghubungkan Johor Bahru terus ke Kuala Lumpur.

 

Secara berasingan, walaupun tidak disebut dalam RMK13, terdapat perbincangan mengenai prospek RTS kedua yang menghubungkan Iskandar Puteri di Johor dan Tuas di Singapura selepas RTS pertama siap.

 

Kelazimannya kata Maybank IB, setiap rancangan lima tahun kerajaan itu 'mesti ada' pelbagai perkara yang berkaitan pembinaan, infrastruktur dan hartanah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

 

 

 

 

 

"Membaca dokumen rasmi RMK13, kami melihat beberapa kluster dalam senarai perancangan kerajaan bagi beberapa projek sedia ada, sama ada yang sudah diketahui dan bersifat baharu," katanya.

 

Ini tambahnya, termasuk kerja-kerja perluasan dan naik taraf pelabuhan tertentu, pembangunan infrastruktur tenaga serta pembinaan jalan dan lebuh raya di seluruh negara. - DagangNews.com