KUALA LUMPUR 11 Feb — Kerajaan mengesahkan setakat Januari 2026 tiada pelaburan pusat data di Malaysia yang ditangguhkan, berisiko ditangguhkan atau berpotensi dipindahkan ke negara lain susulan kekangan bekalan air.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kerajaan kekal komited memastikan semua projek pusat data direalisasikan secara teratur, termasuk dengan menjamin ketersediaan sumber air yang mencukupi bagi menyokong operasi industri berkenaan.
Menurut MITI, usaha itu turut melibatkan penerokaan sumber air alternatif yang lebih mampan untuk kegunaan pusat data di seluruh negara.
“Melalui kerjasama strategik dengan pakar teknologi global, kerajaan telah meneroka pelbagai kaedah termasuk penggunaan teknologi penyejukan rendaman (immersion cooling),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
MITI menjelaskan, teknologi penyejukan rendaman menggunakan bendalir khas bagi menyerap haba secara langsung daripada pelayan, sekali gus berupaya mengurangkan penggunaan air hampir 100% bagi proses penyejukan teras dan sistem penyejukan berasaskan bendalir.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berhubung anggaran nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang telah ditangguhkan, berisiko ditangguhkan atau berkemungkinan berpindah ke negara pesaing, susulan keputusan Johor menangguhkan pembangunan pusat data baharu sehingga 2027 akibat kekangan bekalan air.
Mengulas lanjut, MITI menegaskan melalui pendekatan proaktif dan bersepadu, Malaysia diyakini bukan sekadar menjadi lokasi operasi pusat data, malah mampu muncul sebagai hab digital serantau yang berdaya saing dan berdaya tahan.
“Kerajaan juga berhasrat menjadikan Malaysia contoh utama dalam mengimbangi pertumbuhan industri berteknologi tinggi dengan keperluan kelestarian alam sekitar,” katanya. - DagangNews.com








