Tiada pemangkin kuat, Kenanga Research kekalkan status NEUTRAL sektor perladangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada pemangkin kuat, Kenanga Research kekalkan status NEUTRAL sektor perladangan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept - Harga minyak sawit mentah (CPO) tahun ini menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan, sekali gus mendorong peningkatan unjuran harga CPO bagi tahun kalendar 2025 (CY25F) daripada RM4,200 kepada RM4,300 per tan metrik (MT), menurut Kenanga Research.

 

Melangkah ke tahun kalendar 2026 (CY26), bekalan dijangka bertambah baik walaupun masih ketat, menyebabkan harga CPO dijangka susut sedikit berbanding tahun sebelumnya tetapi kekal mantap sekitar RM4,000 per MT.

 

Kos pengeluaran dijangka meningkat secara beransur-ansur pada CY26, namun margin keuntungan masih terkawal disokong oleh harga tandan buah segar (PK) yang tinggi serta hasil pengeluaran lebih baik.

 

Pemulihan sektor hiliran yang sudah lama tertangguh masih belum menunjukkan tanda positif, sementara keuntungan daripada sektor bukan perladangan dijangka meningkat selepas CY25.

 

Kekal Neutral, Tiada Pemangkin Kuat

 

Kenanga Research mengekalkan pendirian Neutral terhadap sektor perladangan kerana walaupun keuntungan kekal sihat dan penilaian berada pada paras rendah (nisbah harga kepada nilai buku (PBV) 1.1x dan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14x-15x), pertumbuhan dijangka terhad dengan tiada pemangkin kenaikan harga yang ketara.

 

Antara faktor utama yang menyokong pandangan ini adalah permintaan minyak boleh makan yang kukuh. Sekitar 70% minyak boleh makan digunakan dalam rantaian makanan, manakala 23% lagi digunakan sebagai bio-bahan api.

 

Permintaan yang stabil dengan pertumbuhan tahunan sekitar 3%-4% ini disokong oleh bekalan yang kekurangan sejak beberapa tahun lalu dan dijangka berterusan memberi kelebihan kepada pengukuhan harga minyak boleh makan.

 

Imbangan Kewangan Kukuh

 

Ramai pemain huluan yang tidak bersepadu kini mencatat kedudukan tunai bersih seperti HSPLANT, TAANN, TSH dan UMCCA, membolehkan pembayaran dividen yang baik kecuali jika melaksanakan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

 

Pemain bersepadu yang lebih besar dijangka terus fokus kepada M&A dan diversifikasi ke sektor bukan perladangan serta kekal sebagai peminjam bersih.

 

Namun aset tanah bernilai tinggi bagi syarikat seperti IOI, KLK dan SDG menjadikan tahap penggayaan mereka yang menurun daripada 35% kepada 32% pada suku terkini tidak menjadi kebimbangan utama pelabur.

 

Penilaian sektor perladangan oleh Kenanga menunjukkan paras terendah sekitar enam bulan lalu, dengan potensi penarafan semula yang sederhana.

 

Cadangan Saham Pilihan

 

Antara saham pilihan Kenanga dalam sektor perladangan adalah Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan saranan Beli. Harga Sasaran RM24.00, berasaskan kekuatan huluan, peningkatan pendapatan hartanah dan pengurangan tahap hutang.

 

Kenanga turut memberikan saranan Beli kepada saham PPB Group Berhad (PPB) dengan Harga Sasaran RM12.50, dengan pengurangan diskaun sebanyak separuh berikutan kes undang-undang Wilmar International Ltd (WIL) yang dijangka ditutup tidak lama lagi.

 

Hap Seng Plantations Holdings Berhad (HSPLANT) turut menjadi saham pilihan Kenangan dengan saranan Beli. Harga Sasaran ditetapkan pada RM2.40, dengan faktor menarik seperti hasil dividen melebihi 5% dan kedudukan tunai bersih RM0.6 bilion (bersamaan 74 sen sesaham). - DagangNews.com