KUALA LUMPUR 6 Mac - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.
Penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global berterusan, disokong permintaan domestik dan perdagangan global berdaya tahan dengan disinflasi dijangka berterusan di kebanyakan negara maju, disokong oleh harga komoditi yang semakin menurun dan luputnya kesan asas daripada dasar monetari yang ketat sebelum ini.
"Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.1% pada tahun 2024, didorong permintaan dalam negeri yang lebih kukuh dan eksport yang kembali pulih.
"Pada masa hadapan, walaupun terdapat ketidakpastian luaran, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada 2025, dengan berteraskan permintaan dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BNM berkata, pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.
Peningkatan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang berterusan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.
"Bagaimanapun, sektor eksport akan terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, yang berpunca terutamanya daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan perdagangan utama susulan ketidakpastian yang ketara berhubung dengan dasar perdagangan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi disebabkan oleh limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi global, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan pelaburan yang lebih pantas," katanya.
Bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.7% dan 1.8% pada Januari 2025.
Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
Prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh perkembangan luaran. Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.
"Bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit," katanya. - DagangNews.com








