KUALA LUMPUR 24 Julai — Metronic Global Berhad menamatkan perjanjian usaha sama dengan Zhuhai Singyes New Materials Technology Co Ltd bagi projek pembangunan bandar pintar di Malaysia.
Kumpulan tersebut berkata, perjanjian berkenaan dimeterai antara anak syarikat miliknya, Metronic Engineering Sdn Bhd, pada 6 Ogos 2019 dengan syarikat itu yang berpangkalan di Guandong, China.
Penamatan itu katanya, disebabkan beberapa perkara termasuk tiada kemajuan ketara dalam sebarang prototaip yang dicadangkan selain kepakaran yang tidak mencukupi dalam rumusan bandar pintar.
"Justeru, Metronic berhasrat menyelaraskan aktiviti perniagaannya untuk menumpukan semula aktiviti kejuruteraan teras dan keluar daripada perjanjian," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia
Lembaga Pengarah kumpulan tersebut tambahnya, turut mengeluarkan notis pemberhentian secara rasmi kepada Zhuhai Singyes untuk memaklumkan mengenai penamatan usaha sama berkenaan pada hari ini.
Ia juga menyifatkan tindakan itu bagi mengelakkan Metronix daripada terlibat dalam kepelbagaian perniagaan lain yang tidak begitu menguntungkan atau belum teruji pernah dimulakan sebelum ini.
Katanya, penamatan tersebut bagaimanapun tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar syarikat atau isu terhadap pegangan saham pemegang saham besar syarikat.
"Pemberhentian usaha sama itu juga tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025," katanya.
Sehubungan itu, penamatan berkenaan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan mana-mana pihak berkuasa lain yang berkaitan dan tidak tertakluk kepada sebarang pelaksanaan korporat lain.
Setelah menyemak dan mempertimbangkan terma dan syarat, Lembaga Pengarah berpendapat penamatan itu demi kepentingan terbaik syarikat, adil, serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham.
Selain itu, tiada pengarah dan pemegang saham utama Metronic atau individu berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam penamatan. - DagangNews.com








