KUALA LUMPUR 10 Julai — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada kelemahan isu tatakelola melibatkan proses penjualan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Seorang ahlinya, Sim Tze Tzin berkata, prosiding turut berjalan lancar hari ini dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memberi kerjasama yang baik kepada jawatankuasa itu.
PAC tambahnya, berpuas hati apabila menteri tersebut berjaya menjawab semua pertanyaan daripada mereka dengan baik selain dipuji kerana bersikap lemah lembut serta bersifat merendah diri.
"Ia berjalan lancar, malah Amir Hamzah menjawab dengan baik, saya rasa kebanyakan ahli PAC gembira dan berpuas hati melalui prosiding yang berlangsung selama sejam setengah itu," kata beliau.
Selain itu tambahnya, pelaksanaan prosiding tersebut adalah positif, apabila kerajaan terbuka untuk menjawab segala persoalan dengan ahli-ahli PAC yang bertanyakan pelbagai aspek isu.
Tze Tzin berkata, semua saksi sudah dipanggil dan lengkap dengan prosiding selesai apabila tiada apa yang perlu disiasat lagi selain beliau juga tidak nampak ada sebarang isu tatakelola.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, keterangan Amir Hamzah itu adalah penting kerana ia sebahagian daripada prosiding Pengurusan Lapangan Terbang Awam.
Aspek pengendalian fasiliti berkenaan kata beliau, terletak di bawah Kementerian Kewangan (MOF) sendiri di samping MAHB, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru memaklumkan dengan berakhirnya sesi prosiding tersebut, maka PAC kemudian akan menyediakan laporan hasil daripada prosiding dijalankan.
Sebelum ini, PAC sudah memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Lee Jim Leng; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP); Datuk Nik Amlizan Mahamed; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Turut dipanggil Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mewakili Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, Datuk Zain Azhari Mazlan. - DagangNews.com








