Tiada cukai baharu sehingga ketirisan, rasuah diatasi - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada cukai baharu sehingga ketirisan, rasuah diatasi - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Okt - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk memperkenalkan cukai baharu selagi pentadbiran belum bebas daripada ketirisan, rasuah dan kelemahan pengurusan.

 

Perdana Menteri berkata, keutamaan ketika ini adalah membetulkan kelemahan dalam sistem sedia ada supaya hasil negara tidak terus bocor kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

“Sebelum kita fikir soal cukai yang kadangkala membebankan rakyat, kita mesti betulkan dahulu kesilapan dalam pentadbiran,” katanya semasa Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. 

 

 

 

 

 

 

 

Anwar berkata, penjimatan besar yang dicapai melalui usaha membanteras penyeludupan dan rasuah membuktikan bahawa pentadbiran yang cekap mampu menambah hasil negara tanpa perlu mengenakan cukai tambahan kepada rakyat.

 

Beliau berkata, wang yang dijimatkan kini disalurkan kepada kenaikan gaji penjawat awam dan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta inisiatif SARA.

 

“Kalau kita mahu beri lebih kepada rakyat, hasil negara mesti meningkat. Tetapi sebelum fikir cukai, kita perlu teliti dahulu pelaksanaan kerja kita dan sistem yang kita warisi,” tambah beliau yang juga Menteri Kewangan.

 

Dalam hal ini, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis atas tindakan bersepadu yang diambil.

 

“Kita berjaya kawal ketirisan, rasuah dan penyeludupan. Dalam dua tahun, kita telah jimat RM15.5 bilion hasil daripada usaha ini,” katanya.

 

Beliau menegaskan pengurusan sumber yang telus adalah penting bagi menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat, tanpa menambah beban fiskal negara.

 

“Daripada wang yang dijimatkan, kita dapat tingkatkan gaji penjawat awam, STR, dan SARA. Mungkin jumlahnya tidak besar, tetapi ini hasil daripada pengurusan yang cekap,” ujarnya.

 

Jumaat lalu, Anwar membentangkan Belanjawan 2026 sebanyak RM470 bilion, meningkat daripada RM452 bilion tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan penjawat awam agar menjalankan tugas dengan amanah dan tanggungjawab.

 

Beliau menegaskan, ia penting agar setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

 

“Mesti ada tekad peribadi untuk mencari rezeki halal dan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah integriti dan kejujuran perlu menjadi asas dalam budaya kerja perkhidmatan awam.

 

 

 

 

 

 

Perdana Menteri turut memberi amaran usaha itu tidak akan berjaya jika ketua jabatan melindungi kesalahan.

 

“Jika ketua jabatan tahu dan jadi pelindung kepada kesalahan, kita tidak boleh mempertahankan mereka,” katanya. - DagangNews.com