Thong Guan batal rancangan jual perniagaan makanan dan minuman kepada Foremost Equals | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Thong Guan batal rancangan jual perniagaan makanan dan minuman kepada Foremost Equals

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Thong Guan Industries Bhd membatalkan rancangan untuk menjual perniagaan makanan dan minuman (F&B) miliknya kepada pemegang saham terbesar syarikat itu, Foremost Equals Sdn Bhd (FESB).

 

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai harga akhir penjualan, yang melebihi anggaran awal RM60 juta ketika perjanjian diumumkan pada November 2024.

 

RHB Investment Bank yang mewakili Thong Guan berkata, syarikat tersebut akan memulangkan deposit RM6 juta yang dibayar FESB dalam tempoh 14 hari tanpa faedah.

 

"Syarikat akan terus mengendalikan operasi bahagian perniagaan F&B seperti biasa," menurut Thong Guan dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Penamatan perjanjian itu dijangka tidak memberi kesan kepada pendapatan, aset atau hutang syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Sebelum ini, Thong Guan merancang untuk menggunakan RM30 juta daripada hasil jualan bagi pembayaran dividen khas, RM29.2 juta untuk modal kerja dan bakinya untuk menampung kos penjualan.

 

Dengan jumlah saham sebanyak 401.64 juta unit, dividen khas yang dirancang adalah tujuh sen bagi setiap saham. 

 

FESB yang memiliki 37.03% saham, dijangka menerima RM10.41 juta daripada dividen berkenaan.

 

Syarikat itu dimiliki oleh Pengarah Urusan Thong Guan, Datuk Ang Poon Chuan, bersama adik-beradik beliau yang juga Pengarah Eksekutif syarikat, Datuk Ang Poon Khim dan Datuk Ang Poon Seong. - DagangNews.com