Theta Edge peroleh kontrak infrastruktur telekomunikasi RM87.9 juta di Wilayah Utara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Theta Edge peroleh kontrak infrastruktur telekomunikasi RM87.9 juta di Wilayah Utara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Theta Edge Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Theta Technologies Sdn Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM87.9 juta daripada PG LinkaranFibre Sdn Bhd.


Syarikat tersebut berkata, tender terbaharu itu melibatkan pelbagai kerja yang berkaitan pembekalan, pembinaan dan pentauliahan infrastruktur gentian optik di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.


Kontrak itu dianugerahkan kepada konsortium strategik antara Theta Technologies dan Harta Unity Sdn Bhd yang juga mengukuhkan kedudukan kumpulan berkenaan dalam segmen prasarana telekomunikasi.


"Projek ini bermula pada 1 Julai 2025 dan merangkumi penyerahan rangkaian gentian optik yang lengkap, beroperasi sepenuhnya dan mematuhi piawaian ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.


Kerjasama berkenaan tambah Theta Edge, dimeterai susulan daripada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 kumpulan tersebut baru-baru ini dengan kontrak harga meningkatkan profil hasil tahun semasa.


Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, pihaknya terus memperkukuhkan fokus kepada peluang selari kekuatan teras syarikat itu.


Kontrak terkini berkenaan katanya, juga sejajar dengan strategi Theta Edge untuk terus menjana pertumbuhan mampan melalui pelaksanaan kerja berdisiplin dan jalinan kerjasama secara kukuh.


"Kejayaan memperoleh kontrak ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan serta rekod prestasi kami yang teguh dalam melaksanakan projek kompleks dan berimpak tinggi," kata beliau. 


Theta Edge tambahnya, turut memperluaskan fokus komersialnya bagi meneroka peluang dalam sektor swasta dan pasaran serantau dengan memanfaatkan harta intelek serta kerjasama strategik dibina.


Selain itu kata Nuraslina, kumpulan tersebut komited melaksanakan pelbagai projeknya dengan cemerlang dan memberikan nilai yang konsisten kepada para pemegang saham. - DagangNews.com